Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 20, 2017

[BERA] 24 JAM BERGANTUNG MESIN OKSIGEN





"Saya reda dengan dugaan ini, sebagai hamba...mahu atau tidak kita pasti diuji," demikian luah seorang ibu tunggal mengenai keadaan anaknya yang menderita jangkitan kuman pada sistem pernafasan atau dikenali sebagai jangkitan adenovirus.

Siti Khadijah Dali, 35, berkata, anak bongsunya, Muhammad Ammar Rizqi Mohd Suhardi, yang baharu berusia dua tahun telah disahkan menghadapi permasalahan kronik pada paru-parunya sehingga memaksa anak kecil itu menggunakan mesin oksigen 24 jam.

“Mula-mula Ammar hanya demam, batuk dan selsema. Saya ingatkan itu perkara biasa berlaku pada kanak-kanak, mungkin juga dia beralih bulan. Jadi, saya bawa ke klinik swasta.

“Bila dia tak pulih, saya hantar ke klinik kesihatan. Di sana, mereka terus ambil darah Ammar dan mengesahkan terdapat jangkitan kuman. Pihak klinik kesihatan terus rujuk Ammar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, dan dimasukkan ke ICU,” katanya.

Melihat keadaan Ammar yang lemah dan berselirat dengan wayar, hatinya luluh malah tidak menyangka apabila doktor mencadangkan supaya melakukan pembedahan untuk mengambil air tulang belakang bagi mencari punca masalah anaknya itu.

Bagaimanapun, dia mampu menarik nafas lega apabila pembedahan itu tidak diteruskan selepas pihak hospital telah mengesan punca penyakit daripada sampel darah yang diambil.

Ibu kepada empat anak itu berkata, akibat penyakit itu Ammar terpaksa ditahan di hospital selama lapan bulan bagi pemerhatian pihak doktor.

“Lepas dah keluar hospital, doktor sarankan supaya Ammar guna mesin oksigen sepanjang masa dan memerlukan perhatian sepenuhnya.



Siti Khadijah memasang tiub oksigen sebelum keluar ke Temerloh untuk menjemput anak sulungnya di asrama.


“Tapi, saya tak mampu nak bagi oksigen 24 jam sebab bil elektrik naik mendadak, sedangkan saya tidak bekerja dan mengharapkan tempahan jahitan atau kuih saja.

“Kalau sebelum ni, memang saya bagi tumpuan pada jahitan, malah buka kedai pakaian dengan jual tudung, baju dan aksesori wanita tapi terpaksa tutup demi Ammar,” katanya.

Terima bantuan mesin oksigen

Semasa dimaklumkan Muhammad Ammar Rizqi perlu menggunakan mesin oksigen sepanjang masa, dia hanya terdiam memikirkan bagaimana untuk menyediakan mesin yang bernilai RM7,000 itu.

Siti Khadijah berkata, adalah mustahil untuk dia menyediakan peralatan itu kerana selama lapan bulan berada di hospital, perbelanjaannya turut meningkat.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat bila Umno Bahagian Bera bantu saya... ahli Parlimen sendiri sediakan peruntukan penuh dapatkan mesin itu.


Muhammad Shaqeel Iman bermain bersama adiknya yang perlu menggunakan mesin oksigen 24 jam.


“Ada dua jenis mesin oksigen, satu untuk guna dalam rumah...satu lagi untuk dibawa keluar. Saya cuma perlu tambah oksigen saja,” katanya.

Memandangkan penggunaan mesin itu termasuk pendingin hawa selama 24 jam menyebabkan bil elektrik meningkat sebanyak RM400 sebulan.

Namun, nasib ibu tunggal itu mendapat perhatian pihak hospital yang bersetuju membantu menyediakan surat kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pengurangan bayaran.

Terpaksa jual perabot

Menurutnya, dia terpaksa mengambil keputusan untuk menjual beberapa perabot dan perhiasan di rumahnya semata-mata untuk melapangkan ruangan dalam rumah selain menambah pendapatannya.

“Mana pakaian yang masih elok, saya jual murah-murah saja. Karpet pun saya terpaksa jual, sebab Ammar alah pada habuk.

“Saya pindah peralatan dan mesin jahit dari kedai ke rumah, bagi memudahkan kerja saya termasuk menjaga Ammar tapi hakikatnya, ia masih beri risiko pada Ammar sebab habuk namun saya terpaksa,” katanya.

Demi sesuap nasi, Siti Khadijah terpaksa mencuri masa bagi menyiapkan tempahan jahitan pelanggannya.


Menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat sebanyak RM400 atas nama Ammar untuk diagihkan kepada empat anak sejak Julai lalu ternyata tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.

Katanya, anak sulung, Siti Balqis Najwa, 14, bersekolah asrama di salah sebuah sekolah di Temerloh juga sangat memahami kesusahan yang dialami sehingga sanggup mengagihkan duit belanja yang diberikan bapanya untuk keperluan Ammar.

“Malah, Angah (Siti Nurdainy Nadia, 8) ada masanya terpaksa memikul tanggungjawab menjaga Muhammad Shaqeel Iman, 5, dan Ammar kalau saya perlu keluar rumah atas urusan rasmi. Tapi, kalau saya perlu masa lama, saya hantar rumah adik sekejap,” katanya.

Buat masa ini, Siti Khadijah tidak mampu bekerja atau mengambil upah tempahan jahitan bagi memastikan risiko alahan kepada Ammar dikurangkan, namun dia masih perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung keperluan harian.

Malah, terlintas di fikirannya untuk menjual rumah yang didiami kini namun hasrat itu terbantut selepas memikirkan akibatnya selepas itu.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun 06113-41-00010859-1 (BSN) atas nama Siti Khadijah


0 comments:

share2