Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 20, 2017

[JERANTUT] TAK BERANI KELUAR KE LADANG





Penyebaran maklumat palsu berkaitan kemunculan dua ekor harimau di Felda Sungai Retang dan Kampung Merting menyekat aktiviti harian penduduk kampung terbabit.

Sejak penyebaran berita palsu sekitar enam hari lalu itu, penduduk tidak berani keluar ke ladang dan kawasan sekitarnya untuk mencari rezeki.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Retang, Suran Jaafar berkata, kawasan ladang sering menjadi lokasi memancing mencari ikan buat kaum wanita tanah rancangan itu.

Menurutnya, sejak tersebarnya maklumat palsu yang kononnya datang dari Jabatan Perhilitan dan Hidupan Liar Taman Negara, mereka sudah tidak berani hendak pergi memancing di kawasan ladang.

“Saya turut terima mesej yang sama menerusi aplikasi WhatsApp dan terkejut dengan berita yang disebarkan itu.

“Bila saya tengok gambar yang disertakan bersama-sama dengan penyebaran berita itu, saya dapati ia gambar yang sama disebarkan di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menafikan sebarang kewujudan harimau di sekitar Felda Sungai Retang sama ada kesan mahupun bunyi haiwan liar terbabit.

“Sebaik tersebarnya berita itu, ada pula yang bertindak menokok tambah cerita dengan memberitahu penduduk di sini ada terdengar ngauman harimau sedangkan ia sama sekali tidak berlaku,” katanya.

Beliau turut kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu itu.

“Ia beri imej kurang menyenangkan terhadap kampung ini dan buatkan orang ramai takut hendak menjejakkan kaki ke kampung kami,” katanya.

Dalam pada itu semalam, Sinar Harian menyiarkan kenyataan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Negeri, Ahmad Azhar Mohammed yang menafikan menerima sebarang laporan tentang kemunculan haiwan itu di Felda Sungai Retang dan Kampung Merting.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terus menyebarkan maklumat palsu itu kerana ia akan mencetuskan situasi panik kepada masyarakat.

Mesej disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu merupakan mesej memohon orang ramai agar berhati-hati kerana terdapat dua ekor harimau berkeliaran di sekitar Felda Sungai Retang ke Kampung Merting.

Bagaimanapun Azhar menegaskan mesej terbabit bukan datang dari pihak Jabatan Perhilitan malah gambar yang tersebar terbabit dikatakan diambil dari sebuah laman portal berita dari Indonesia.


0 comments:

share2