Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 8, 2017

BANDAR LAMA JERANTUT BAKAL BERSERI


Bandar lama Jerantut bakal berseri


Bandar lama Jerantut bakal diserikan dengan lukisan-lukisan jalanan yang berjaya terpilih.

Lukisan-lukisan yang bakal menyerikan bandar tersebut dalam masa terdekat ini bertemakan patriotik, pemandangan dalam daerah Jerantut dan kreativiti pelukis itu sendiri.

Penantian tersebut ibarat menunggu hari apabila satu pertandingan melukis mural iaitu program Moh Lawokan Bandor Kita sempena sambutan Hari Malaysia 2017 akan dianjurkan Majlis Kebudayaan Daerah (MKD) Jerantut pada 27 hingga 29 Oktober ini. 

Pengerusi MKD Jerantut merangkap Pegawai Daerah, Tengku Norasmaliza Ku Lah berkata, pertandingan berkaitan projek seni dan karya jalanan itu dinamakan sebagai Jerantut Street Art.

“Oleh kerana terdapat kawasan dinding, tembok atau bahagian belakang premis perniagaan yang terbiar kosong, maka program ini bakal menceriakan bandar kita dengan lukisan mural.

“Projek ini adalah hasil cetusan idea ahli jawatankuasa Majlis Kebudayaan Daerah Jerantut bersempena dengan sambutan ke-60 tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan dinding yang akan ditempatkan lukisan mural terbabit.


Tambahnya, Jerantut Street Art itu juga bertujuan untuk menambah satu lagi produk atau daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke daerah ini.

Katanya, projek ini akan dijalankan di bawah seliaan MKD dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di mana ia ini dikatakan yang pertama diadakan di negeri ini.

“Selain mewujudkan sebuah kawasan seni jalanan yang menarik, ia juga sebagai satu daya tarikan pelancong tempatan, luar dan antarabangsa ke Bandar Jerantut.

“Menerusi pertandingan ini, ia juga boleh menjadi sesuatu yang akan dibanggakan oleh penduduk Jerantut.

“Penganjuran program seumpama ini juga dapat menjalinkan kerjasama erat antara MKD Jerantut, MDJ, agensi kerajaan dan institusi-institusi berkaitan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) daerah ini yang terlibat dengan program ini,” katanya. 

Lokasi lukisan jalanan

Lukisan jalanan itu akan ditempatkan di dinding belakang kedai di Bandar lama Jerantut di sepanjang jalan menghadap landasan kereta api.

Sekitar 16 ruang dengan anggaran keluasan 7x7 kaki persegi disediakan untuk pertandingan terbabit di mana lukisan mural yang dicadangkan sama ada dalam bentuk lukisan dua dimensi (2D) atau tiga dimensi (3D) berdasarkan kreativiti peserta.

Urusetia program, Amir Hamzah Nordin berkata, lukisan yang dicadangkan juga haruslah bertemakan patriotik, mempunyai ciri semangat kenegaraan dan kemasyarakatan pelbagai kaum.

Selain itu, ia juga harus bertemakan pemandangan yang terdapat di Jerantut seperti jeram, Canopy Walkway di Kuala Tahan, Gunung Tahan, Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan sebagainya yang bersesuaian.

Sebahagian mural yang telah terdapat di bangunan sekitar Bandar lama Jerantut.


“Peserta juga boleh memilih untuk membuat lukisan bertemakan permainan atau kegiatan yang sesuai berkaitan Jerantut seperti permainan gasing, berakit, rakit tiub (tubing), menyumpit, mendaki gunung atau bukit di Jerantut dan sebagainya.

“Selain, itu mereka juga boleh membuat apa juga lukisan yang difikirkan sesuai oleh kumpulan peserta. Urusetia akan menentukan sama ada diterima atau tidak,” katanya.
16 pasukan terpilih

Amir Hamzah memberitahu, sebanyak 16 pasukan telah terpilih berdasarkan lukisan bersaiz A3 yang dihantar pada tarikh tutup semalam akan menyertai pertandingan itu di mana johan pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000. 

“Naib johan pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM700, manakala di tempat ketiga sebanyak RM500,” katanya. 

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya penganjur dapat mengesan ada lukisan yang di ciplak daripada lukisan yang pernah disiarkan di media, lukisan tersebut akan digugurkan secara automatik.

“Sekiranya lukisan yang terpilih berjaya memasuki program ini dan kemudian mendapat bantahan daripada pihak ketiga berkaitan lukisan tersebut, kumpulan tersebut perlu bertanggungjawab ke atas perkara itu,” katanya.


0 comments:

share2