Pasir Mas - Seramai 50 ahli Pas dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, di sini beralih arah menyertai UMNO beramai-ramai semalam.
Kumpulan yang diketuai Mat Zaid Junoh, 55, menyerahkan borang pendaftaran kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam majlis Jamuan Rakyat di Kampung Paloh, di sini.
Mat Zaid, 55, yang juga bekas tentera berkata, dia sudah memendam hasrat menyertai UMNO sejak 10 tahun lalu apabila melihat tindak-tanduk Pas dalam pakatan pembangkang sebelum ini.
“Sejak kematian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat parti ini semakin bercelaru, Pas juga kekal dengan sikap menuding kesalahan kepada pihak lain.
“Saya tertarik dengan ikatan silaturahim sesama orang UMNO terutama yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi.
“Walaupun aktif dengan Pas Cawangan Tepi Sungai Tendong sejak 29 tahun lalu tapi sudah sampai masa saya masuk UMNO dan jejak saya turut disertai dua orang anak perempuan saya," katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi akan menyertai UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
"Angka 50 orang ini adalah jumlah yang agak besar, selalunya dalam empat hingga lima orang sahaja.
"Setakat ini kita dapat maklumat ada sahabat-sahabat kita di Pasir Puteh dan Kuala Krai akan turut sama dalam perjuangan UMNO," katanya.
0 comments:
Post a Comment