Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 7, 2017

[KUANTAN] LULUH HATI IBU, ANAK KINI TERLANTAR DI HOSPITAL


Luluh hati ibu, anak kini terlantar di hospital


Tiada kata-kata yang dapat digambarkan hati seorang ibu apabila anak lelaki harapan keluarga kini terlantar malah tidak sempurna seperti sebelum ini.

Julia Mat Rejab, 48, berkata, insiden kemalangan motosikal melibatkan anak keduanya, Muhammad Nur Hakim Zubbir, 19, pada 20 Ogos lalu membuatkan dia perlu kuat melalui hari-hari mendatang.

Menurutnya, dia perlu kuat agar Muhammad Nur Hakim dapat menerima hakikat keadaan dirinya yang sudah kehilangan tangan kanannya ekoran kecederaan parah dalam kemalangan tersebut.

“Sejak dia tahu bahawa tangannya tiada, dia menjadi murung dan pendiam. Saya sendiri tidak sampai hati untuk memberitahu keadaannya yang sebenar.

“Saya biarkan dia tahu dengan sendiri apabila melihat tangannya yang sudah dipotong,”katanya ketika ditemui selepas Penyampaian Sumbangan Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob yang disampaikan Exco Kesihatan dan Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman di Wad 5C, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr Ardi Awang dan Adun Lepar, Dato' Sohaimi Jusoh.

Julia yang bekerja sebagai kerani berkata, dalam kejadian tersebut, pelajar tahun satu kursus Automotif Kolej Komuniti Pekan itu menyertai konvoi motosikal bersama rakan-rakan ke Temerloh namun terlibat dalam kemalangan berdekatan Tol Gambang, Lebuh raya Pantai Timur (LPT).

“Saya mendapat panggilan telefon memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan. Pada mulanya saya ingat kecederaan tidak serius berdasarkan gambar yang saya dapat.

“Bagaimana pun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tangannya hancur dan keadaannya kritikal menyebabkan keputusan untuk memotong tangannya dibuat.

“Keputusan itu sangat berat untuk saya buat tetapi dengan nasihat pakar, saya pasrah dan mengharapkan yang terbaik buat dia,”katanya.

Tangan kanan Muhammad Nur Hakim cedera teruk dan tidak boleh diselamatkan kerana membabitkan saluran darah besar menyebabkan pendarahan yang banyak.

Selain itu, dia juga mengalami kecederaan tulang belakang dan tulang tengkuk menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

Julia yang tinggal di Taman Mahkota Jaya berkata, anaknya akan menjalani pembedahan kedua pada saluran urat jantung pada bila-bila masa melibatkan kos hampir RM5,000.

Katanya, dia berharap keadaan anaknya akan sembuh walaupun mengambil masa terutama dari segi emosi dan penerimaan Muhammad Nur Hakim terhadap keadaannya.

Sementara itu, Norol Azali berkata, atas keprihatinan terhadap situasi yang menimpa remaja tersebut, Pejabat Menteri Besar menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 sebagai meringankan beban keluarga berkenaan.

Sebarang sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Julia , Bank CIMB7036542137.


0 comments:

share2