Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 7, 2017

[KUANTAN] PEJABAT MB PAHANG BANTU PELAJAR PUTUS TANGAN


Norol Azali


Nasib seorang pelajar cemerlang dari Kolej Komuniti Pekan yang kehilangan tangan kanan selepas terlibat dalam nahas jalan raya kini mendapat perhatian Pejabat Menteri Besar Pahang.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman berkata pihaknya menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban ditanggung oleh keluarag Muhammad Nur Hakim Zubbir, 19, selepas mengeluarkan perbelanjaan besar untuk merawatnya.

Beliau menambah pelajar berkenaan mengalami kemalangan berhampiran tol Gambang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) semasa menyertai konvoi motosikal pada 20 Ogos lalu dan pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, memutuskan tangannya tidak dapat diselamatkan.

“Apabila Muhammad Nur Hakim sembuh kelak, kita merancang untuk terus memberi bantuan supaya dia dapat meneruskan pembelajaran dalam bidang automatif di Kolej Komuniti Pekan kerana dia merupakan seorang pelajar cemerlang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pelajar itu di HTAA di sini, semalam.

Pada lawatan itu, Norol Azali mewakili Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menyampaikan sumbang wang tunai berjumlah RM5,000 kepada ibu mangsa, Julia Mat Rejab, 48, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

Turut hadir, Adun Lepar Dato' Mohd Shohaimi Jusoh dan Pengarah HTAA Datuk Dr Ardi Awang.

Sementara itu, Dr Ardi berkata tangan kanan Muhammad Nur Hakim gagal diselamatkan oleh doktor kerana tulang dan saluran darahnya amat parah dan boleh menyebabkan kematian jika aliran darah itu tidak dihentikan.

"Dia juga sudah hampir 46 hari terbaring dan ini menujukkan terdapat kecederaan tulang belakang pada bahagian tengkuk sehingga menyebabkan tangan dan kakinya tidak boleh diangkat," katanya.

Julia pula berkata beliau amat terharu dengan keprihatinan Pejabat Menteri Besar Pahang yang sudi melawat dan menghulurkan bantuan kepada anaknya, memandangkan beliau merupakkan penanggung utama keluarga selepas kematian suami akibat barah, 11 tahun lalu. 

"Saya berterima kasih dengan sumbangan ini…namun apa yang menyedihkan ialah melihat anak saya murung kerana kehilangan tangan memandangkan sebelum ini dia ceria orangnya,” katanya.


0 comments:

share2