Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 21, 2017

[KUALA KRAU] BERBANGGA JADI RAKYAT MALAYSIA


Berbangga jadi rakyat Malaysia


Rakyat Malaysia perlu berbangga menjadi rakyat negara yang berdaulat dan komited mempertahankan jati diri serta hak sebagai rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini kerana polemik yang menyentuh mengenai perpaduan bangsa, agama, politik sempit semakin ketara sejak akhir-akhir ini. 

Menurutnya, pihak tertentu semakin ghairah mengeksploitasi perantara media sosial, melempar tuduhan, fitnah, adu domba, malah kenyataan yang menyentuh pelbagai isu termasuk sensitiviti agama, budaya, perpaduan.

"Oleh itu rakyat khususnya orang Melayu jangan malu dengan indentiti sebaliknya berbangga menjadi warganegara yang hebat dan sanggup mempertahankan negara dalam semua situasi.

"Pelbagai provokasi yang berkaitan kepimpinan negara dan bangsa akan mewujudkan persepsi negatif jika tidak dikawal. Ia juga boleh mengundang pelbagai reaksi negatif yang mengancam perpaduan rakyat. Ambil iktibar pergolakan di negara Asia Barat dan kezaliman terhadap etnik Rohingya oleh pemerintah Myanmar. Ia sangat dekat untuk direnungi oleh orang Melayu Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Negaraku Sehati Sejiwa peringkat Parlimen Kuala Krau anjuran Pejabat Penerangan Daerah Temerloh dengan kerjasama Persatuan Sahabat 60-an Felda Jengka di Felda Jengka 23, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Penerangan Daerah Temerloh Md Zain A Rahman dan Ketua Peneroka Felda Jengka 23, Sulaiman Bakar dan Timbalan Presiden Persatuan Sahabat 60-an, Zakaria Hassan.

Tegasnya, orang Melayu perlu berbangga kerana sejarah telah membuktikan kecemerlangan dan kegemilangan bangsa Melayu khususnya terpahat sejak zaman Melayu Melaka .

Tambah beliau, rakyat perlu mengekalkan semangat jati diri dan tiada kompromi mempertahankan maruah bangsa, raja, agama Islam dan negara.

"Kita jangan meremehkan berkaitan kekentalan jati diri, kerana faktor itu menjadi resipi paling berkesan serta benteng kekuatan bangsa dan kestabilan negara.

"Rakyat yang cetek jati dirinya serta terlalu berkiblat media sosial lebih cenderung untuk dipengaruhi unsur dipecah-belahkan. Sebahagian rakyat yang lebih terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih sebenarnya memberi ruang campur tangan negara luar dalam pentadbiran di negara ini," katanya.

Beliau menegaskan, kita perlu bersiapsiaga daripada terperangkap dengan polemik berterusan yang akan memusnahkan perpaduan dan meruntuhkan sebuah tamadun bangsa.


0 comments:

share2