Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pahang menyerahkan 11 kad pengenalan diri gantian kepada 11 penerima di Kampung Sungai Mas, Sungai Lembing selepas proses gantian siap.
Penerima yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli di situ melahirkan rasa gembira selepas menunggu kad pengenalan diri gantian mereka siap.
Bagi Bunga Asong, 34, dia membuat kad pengenalan gantian ekoran memeluk Islam pada tahun lalu.
Menurutnya, pada program yang diadakan JPN dan Majlis Ugama Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Mei lalu, permohonan gantian dibuat.
“Jika mereka tidak datang ke sini, saya tidak tahu cara mahu memohon. Jadi, apabila mereka datang ke sini, senang untuk penduduk mengadu sebarang masalah,”katanya ketika ditemui pada Program Walkabout Majlis Penyerahan Kad Pengenalan Diri di Dewan Kampung Sungai Mas, semalam.
Hadir merasmikan majlis, Adun Sungai Lembing, Dato' Md Sohaimi Mohamed Shah. Turut hadir, Pengarah JPN, Juzilawati Kamaruddin.
Sementara itu, Md Sohaimi berkata, pihaknya menghargai usaha JPN turun padang ke kawasan pedalaman seperti kampung tersebut yang jauh dari bandar.
Katanya, sesetengah penduduk yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli juga menyebabkan timbul beberapa masalah.
“Kita juga sedang mengumpul penduduk di sini untuk mengemas kini alamat tempat tinggal mereka dan akan dibawa ke JPN dalam masa terdekat.
“Mungkin pada masa akan datang JPN boleh merangka pelbagai program yang bersesuaian untuk masyarakat Orang Asli yang memerlukan kesedaran berkaitan kepentingan kad pengenalan dan sijil lahir,” katanya.
0 comments:
Post a Comment