Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 13, 2017

[JERANTUT] TAWARAN RAMBANG MATA


Tawaran rambang mata


Orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Pesta Orkid dan Flora yang kini sedang rancak berlangsung di pekarangan Hentian Bas dan Teksi Bandar Inderapura, di sini.

Pesta yang diadakan selama 10 hari bermula pada 8 September sehingga 17 September itu menampilkan pelbagai produk pertanian terkini antaranya dari pelbagai spesies orkid, tumbuhan herba, ulam dan pokok buah-buahan.

Eksekutif Pemasaran BMC Venture, Normazura Nor Mahadzan berkata, sejak hari pertama ia diadakan, sambutan yang diterima pengunjung amat menggalakkan.

Menariknya lagi, pesta terbabit turut menampilkan persembahan artis tempatan yang dijemput khas bagi memeriahkan lagi suasana iaitu Auntie Band dan Harry Khalifah.

“Kita turut tampilkan persembahan artis tempatan seperti Auntie Band pada malam semalam dan Harry Khalifah yang dijangka akan melakukan persembahan pada 16 September nanti pada jam 9.30 malam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Pesta Orkid dan Flora turut membawa kelainan tersendiri apabila menawarkan pelbagai jenis pakaian, perkakasan dapur dan pelbagai lagi barangan lain yang dijual pada harga lelong.

Turut menarik perhatian ialah pelbagai jenis pakaian Muslimah termasuk tudung turut dijual pada harga borong.

Normazura berkata, apa yang dijanjikan adalah pesta berkenaan pastinya akan membuatkan pengunjung rambang mata dengan pelbagai pilihan produk yang ditawarkan.

Selain itu, terdapat aktiviti menarik seperti pertandingan karaoke yang berlangsung pada jam 9.30 malam.

“Pengunjung atau orang ramai yang suka berkaraoke, boleh berkunjung ke sini.

“Pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menerusi setiap pembelian di mana cabutan akan dilakukan pada 17 September nanti pada jam 9.30 malam.” katanya kepada Sinar Harian.

0 comments:

share2