Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 29, 2017

10,000 SUKARELAWAN PDRM AKAN DIGUNAKAN PADA PRU14




Kuantan - Sebanyak 10,000 anggota sukarelawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digunakan untuk bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara pada PRU14 akan datang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, khidmat mereka akan digunakan buat sementara waktu untuk mengambil alih tugas hakiki anggota tetap di balai terlibat pada hari tersebut yang akan bertugas untuk PRU nanti.

Menurutnya, PDRM perlu memastikan mempunyai anggota mencukupi dari tempoh kempen, pada hari mengundi dan selepas mengundi.

"Kita akan menggunakan khidmat anggota sukarelawan untuk menampung kekurangan yang ada.

"Anggota sukarelawan polis ini tidak akan bertugas pada PRU-14, sebaliknya akan ditempatkan di IPD dan balai-balai untuk mengambil alih tugas polis di situ. Mereka ini ada kuasa polis dan terlatih," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azri Ahmad.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, PDRM kini sedang giat menjalankan latihan bagi memastikan anggotanya mempunyai pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang selain sumber manusia mencukupi.

Jelasnya, latihan yang diberikan adalah berterusan dan sehingga kini hampir 90 peratus anggotanya telah pun menerima latihan terbabit.

"Selain itu, kita juga melakukan persediaan daripada segi kelengkapan dan logistik. Kita memerlukan kenderaan dan kelengkapan lengkap terutama membabitkan Unit Penggempur Ringan (LSF) dan Unit Pencegahan Rusuhan (PORU).

"Kita telah pun mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan segera keperluan-keperluan PDRM supaya kita berada dalam siap siaga yang tinggi," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pasukan keselamatan berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi PRU bila-bila masa.


0 comments:

share2