Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 18, 2017

TUDUH PM DAN UMNO, PEMBANGKANG PERLU MOHON MAAF



AMPANG, 18 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menggesa pemimpin pakatan harapan khususnya Marina Mahathir dan juga Menteri Besar Selangor, Azmin Ali agar membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli UMNO kerana membuat tuduhan melulu dengan menuding jari kepada UMNO sebagai dalang kekecohan yang berlaku ketika berlansungnya program ‘Nothing To Hide 2.0’ yang dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Menurut beliau, sudah terbukti bahawa Najib dan UMNO tidak terlibat langsung dalam insiden kekecohan tersebut ekoran pendedahan yang dibuat oleh ahli PPBM sendiri, Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin.




“Pendedahan ahli PPBM itu sendiri cukup menggambarkan bahawa kenyataan Marina Mahathir melalui twitternya yang menuduh Najib mahu menyerang bapanya adalah satu tuduhan melulu yang amat berat. Marina sepatutnya minta maaf secara terbuka kepada Najib kerana menuduh sesuatu yang tidak beliau lakukan.

“Begitu juga dengan kenyataan separuh masak Azmin yang menggunakan taktik basi pembangkang dengan menuduh bahawa UMNO menjadi dalang kepada kekecohan tersebut.

“Beliau juga sepatutnya meminta maaf kepada Najib dan UMNO. Sebagai seorang Menteri Besar, tidak sepatutnya beliau membuat tuduhan melulu seperti itu sebelum isu tersebut diteliti dan disiasat terlebih dulu. Kenyataan yang beremosi dan melulu itu sudah cukup untuk menggambarkan ketidakmatangan Azmin sebagai pemimpin,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Rabu lalu, Pengarah Keselamatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parlimen Shah Alam Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin mendakwa kekecohan forum ‘Nothing to Hide 2.0’ Ahad lalu adalah didalangi oleh anggota parti itu sendiri.

Beliau juga membuat satu laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut serta ugutan bunuh terhadapnya. Kata beliau lagi, balingan objek seperti kerusi dan lain-lain itu adalah ditujukan kepadanya dan bukan kepada Tun Mahathir.

Sehubungan itu kata Ismail lagi, apa yang dilakukan oleh Marina dan juga Azmin merupakan salah satu taktik biasa pembangkang yang sudah boleh dibaca oleh rakyat.

“Taktik mengalihkan perhatian rakyat dengan meletakkan kesalahan dan kegagalan sendiri ke pihak lain memang sering diguna pakai oleh pembangkang dan taktik itu sudah basi. Saya yakin rakyat sendiri sudah tahu permainan pembangkang yang berulang kali menggunakan taktik yang sama sejak puluhan tahun yang lalu.

“Contohnya, seperti peristiwa pencerobohan di Lahad Datu empat tahun yang lepas, pemimpin pembangkang juga menuduh bahawa insiden tersebut kononnya adalah lakonan pentas yang diokestrakan oleh BN. Akhirnya terbukti tuduhan tersebut tidak betul. Banyak lagi tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang yang akhirnya terbukti tidak betul.

“Jadi saya rasa, pihak pembangkang cukup-cukuplah menggunakan taktik seperti itu. Saya yakin bahawa rakyat juga sudah muak dengan sikap pembangkang yang tidak pernah mengaku salah dan berlagak seperti sebuah parti politik yang suci dan bersih daripada sebarang kesilapan dan kesalahan,” ujarnya.


0 comments:

share2