Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 18, 2017

ISLAM BERSATU MELALUI WORLD #QURANHOUR


Islam bersatu melalui World #QuranHour


Shah Alam - World #QuranHour adalah saluran terbaik dalam menyatukan masyarakat Islam.

Pengarah Institut Madani Singapura, Mohd Jakfar Embek berkata, perpecahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam, mampu diatasi dengan kembali kepada al-Quran.

"Kempen melalui World #QuranHour adalah satu-satu cara untuk mendedahkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada kitab suci al-Quran," katanya.

Lebih menarik lagi, katanya, World #QuranHour mempunyai wawasan bukan sahaja tertumpu kepada umat Islam di Malaysia bahkan merentasi ke seluruh dunia.

"Dalam masyarakat Islam Singapura, sekitar 60 peratus adalah kelompok dikesan tidak diketahui bagaimana mereka belajar agama.

"Yakni kita tidak tahu di mana mereka belajar agama, sama ada di masjid atau mengikuti kelas bersama agensi dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, gelombang kempen tersebut diharap membangkitkan kesedaran dan menarik golongan 60 peratus itu belajar agama serta kembali semula ke akar umbi.

World #QuranHour di Singapura bermula tahun lalu, dengan penyertaan tujuh agensi.

Tahun ini, jumlah penyertaan dijangka bertambah hingga 12 agensi, sama ada dilakukan bersama mahupun di tempat masing-masing.

Berhubung pemilihan tema World #QuranHour tahun ini, beliau berkata, ia selari dengan tema yang dipilih dalam khutbah Jumaat di Kota Singa itu pada tahun ini.

"Cuma bezanya kami gunakan rahmah, intipati dan apa yang ingin disampaikannya juga sama sebagaimana tema Dunia Berbudi dan Penyayang yang digunakan dalam World #QuranHour tahun ini," katanya.

Berada dalam negara yang ditadbir secara sekular, Mohd Jakfar berkata, ia bukan halangan besar untuk kempen bergerak aktif.

"Dasar terbuka diamalkan pemerintah tidak membebankan mana-mana pihak, asalkan ia tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan masyarakat, tidak menimbulkan pergaduhan etnik atau seumpamanya.

"Dari segi cabaran sentiasa ada, namun sudah menjadi tugas kita untuk merapatkan jurang dan merancakkan lagi kempen. Usaha kita tak boleh berhenti hanya kerana tanggapan serong sesetengah pihak," katanya.

Jelas Mohd Jakfar, besar harapannya agar momentum kempen World #QuranHour ini diteruskan sepanjang masa, di samping penglibatan negara di seluruh dunia juga bertambah.

"Saya harap World #QuranHour jadi kempen berterusan dan budaya masyarakat Islam," katanya.

World #QuranHour akan berlangsung serentak seluruh dunia pada 31 Ogos ini bermula jam 11 pagi di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.


0 comments:

share2