Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 18, 2017

KECUT PERUT KALAU TAK DAPAT 'A'


Kecut perut kalau tak dapat 'A'


Subang Jaya – Dirotan arwah bapa ketika kecil antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Katanya, ketegasan bapanya terhadap dirinya dan adik-beradik antara faktor kejayaan Pasaraya Mydin kini.

Beliau berkata, arwah bapanya, Mohamed Mydin Gulam Hussein menetapkan penanda aras begitu tinggi terhadap pelajaran anak-anaknya.

“Ayah saya tegas dalam belajar. Baginya, A bukan sahaja satu kepuasan, tapi A itu sendiri beri 1,001 makna.

“Zaman dulu, bukan senang tau nak dapat A. Ingat, A itu hanya boleh dinilai kalau bangun solat Subuh?

“A itu maknanya, apa yang kita buat itu melangkaui perkara biasa. Sebab itu arwah ayah sangat tekankan kami untuk dapat A dalam pelajaran,” ceritanya.

Mengimbau saat keputusan peperiksaan diumumkan, itulah waktu paling menakutkan Ameer Ali dan adik-beradiknya.

“Semua dah takut. Kalau dapat A, boleh senyum, tapi yang dapat B, C D atau gagal memang kecut perut.

“Siapa antara kami yang dapat B akan sekali kena rotan. C dua kali, D tiga kali dan E empat kali kena rotan.

“Rotan bukan main-main punya rotan, sakit sampai berhari-harilah. Kuat tak kuat kena rotan. Saya selalu kena rotan," katanya.

Ameer Ali berkata, bukan mudah mendapat A ketika itu dan bapanya enggan menerima sebarang alasan jika mereka tidak mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Katanya, tiada sesiapa pun akan menjawab, jauh sekali melarikan diri daripada dirotan.

“Itulah hukuman yang benar-benar beri pengajaran buat kami semua. Sejak kecil, kami sudah dididik menjadi seorang yang disiplin, sama ada dalam pelajaran mahupun rutin harian kami.

“Dengan ketegasan itu jugalah, saya dapat melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Selama lima tahun saya belajar di sana dan balik sini, saya bekerja di Arab Malaysian Merchant Bank,” katanya.

Ameer Ali


Selain tegas, Ameer Ali berkata, bapanya paling kedekut untuk memberikan anak-anak wang.

“Kalau nak diikutkan, kami ni bukanlah orang susah sangat, bukan juga senang sangat. Ayah pun ada kedai jual permainan. Tapi kami tak pernah dapat duit belanja.

“Kalau kami nak duit, kenalah cari sendiri. Caranya, kami kenalah jual permainan yang ada di kedai arwah ayah,” katanya.

Menurutnya, beliau terpaksa menjual permainan askar kombat untuk mendapatkan duit belanja.

“Nak dapat 10 sen pun susah. Kami semua adik-beradik perlu mencari duit sendiri. Masa kecil permainan yang popular adalah askar kombat, ada dalam paket yang dijual RM1 sepaket.

“Dalam paket tu ada 10 askar kecil. Saya jual askar kombat tu pada kawan-kawan saya. Satu askar saya jual 20 sen. Kalau terjual semua, saya dapat bawa balik RM2.

“Ayah ambil RM1. Baki tu ayah bagi saya, tapi tak boleh belanja. Semua hasil jualan saya kena simpan dalam tabung,” katanya yang akan menjual permainan lain pula keesokan harinya.

Beliau berkata, kesemua adik-beradiknya ada tabung khas untuk menyimpan wang hasil jualan.

“Itulah cara ayah nak kami belajar menyimpan. Dia ajar kami bukan senang nak dapat duit. Ingat nak jual mainan tu senang ke? 20 sen ketika tu mahal tau. Jadi, nak yakinkan kawan-kawan beli lagi, memang bukan senang.

“Kerana itu, sejak usia saya enam tahun, saya sudah tahu kepayahan mencari duit dan begitu menghargai setiap sen yang saya dapat,” katanya.


0 comments:

share2