Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 18, 2017

‘BACA PUISI ERATKAN HUBUNGAN KAMI'


‘Baca puisi eratkan hubungan kami’


Shah Alam – Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) menjadikan ‘Program Baca Puisi Bahasa Jiwa Penyair’ sebagai program yang akan mengeratkan hubungan silaturahim.

Timbalan Presiden Penyair Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim berkata, program yang diadakan kali ketiga ini adalah sebahagian aktiviti daripada persatuan.

“Kali pertama program sebegini dianjurkan di Karangkraf Shah Alam, kemudian di Batu Pahat, Johor dan malam ini di Karangkraf sekali lagi.

“Ia bukan sahaja sebagai aktiviti yang menghidupkan persatuan, tetapi untuk memantapkan bacaan puisi di kalangan ahli, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kami dan memasyarakatkan semua ahli,” katanya ketika ditemui dalam program yang berlangsung pada jam 8 malam, di Kompleks Media Karangkraf, semalam.

Beliau berkata, Penyair ditubuhkan pada tahun 2015 dan kini ahlinya telah mencecah seramai 200 orang seluruh Malaysia.

Katanya, program malam ini memainkan peranan besar agar semua penyair Malaysia dapat bersatu dan memartabatkan puisi di kalangan masyarakat Malaysia.

“Kini ahli kami bukan sahaja terdiri daripada golongan peminat-peminat puisi, tapi golongan sasterawan serta artis juga terlibat dalam mengukuhkan persatuan ini.


Antara hadirin yang datang.


“Majlis sebegini akan dilangsungkan dengan lebih kerap dan terima kasih kepada Karangkraf kerana memberikan kerjasama yang baik kepada persatuan,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Penyair, Profesor Datuk Rahman Shaari berkata, beliau harap program ini satu kelangsungan yang baik dari semasa ke semasa untuk membentuk kecemerlangan persatuan.

Tambahnya, sambutan yang diterima juga amat menggalakkan dan diharap program ini dapat menarik minat semua golongan masyarakat.

“Program sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi terus menarik minat masyarakat,” katanya.


0 comments:

share2