Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 3, 2017

PELAJAR SMK BADLISHAH HARUM NAMA NEGARA DI AS


YAZI YUSOF (kiri) bergambar kenangan bersama Prevena (tiga kanan),


Kulim – Jika kebanyakan remaja lain barangkali menggunakan internet untuk bersosial tetapi bagi P. Prevena, 14, dari Taman Tiram di sini ia merupakan lubuk ilmu yang menjadi sumber rujukannya mendapatkan pelbagai maklumat.

Malah kebijaksanaan Prevena menggunakan internet itu juga sebenarnya menjadi rahsia kepada kejayaannya meraih dua anugerah pada persida­ngan International Model United Nation 2017 di Amerika Syarikat, Jumaat lepas.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah di sini itu mencipta sejarah bermakna apabila memenangi anugerah Pembentang Terbaik dan Best Position Paper pada acara itu.

Prevena ketika ditemui berkata, dia bagaimanapun masih merasakan bagai bermimpi apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah itu.

“Sebagai pelajar, jika ingin berjaya dalam bidang inovasi dan lain-lain, kita perlu banyak membaca termasuk memperoleh bahan-bahan penting melalui internet.

“Pada mulanya rasa gugup juga untuk mengeluarkan hujah mengenai isu itu di depan orang lain dari seluruh dunia, lagipun saya adalah pelajar pertama negara menyertai persida­ngan tersebut dan melalui idea yang ada hasil rujukan dibuat, saya mampu mengeluarkan hujah dengan baik sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis merai kejayaannya itu di SMK Sultan Badlishah di sini hari ini.

Prevena ditemani ibunya, S. Jayadevi, 42, ke negara tersebut selama dua minggu untuk mencipta kejayaan yang sama sekali tidak diduga mereka sejarah dalam hidup mereka.

Pengetua sekolah itu, Yazi Yusof berkata, pihak sekolah amat berbangga dan gembira sekali di atas kejayaannya.

“Dalam masa yang singkat sahaja namanya menjadi terkenal dan sesungguhnya tidak begitu mudah bagi mana-mana pelajar untuk tampil atas pentas membentang isu berkaitan sekatan senjata kimia dan kesan perubahan iklim terhadap tanaman,” katanya.


0 comments:

share2