Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 26, 2017

[MARAN] KARNIVAL BAHASA INGGERIS SEIRING MATLAMAT KEMENTERIAN


Karnival Bahasa Inggeris seiring matlamat kementerian


Memperkasakan Bahasa Inggeris merupakan satu tugas yang perlu dipikul bersama oleh guru-guru Bahasa Inggeris dan Kementerian Pendidikan.

Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Ahmad Nahran Ishak berkata, ia seiring dengan matlamat kementerian seperti diperjelaskan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Menurutnya, Bahasa Inggeris memainkan peranan yang besar sebagai bahasa pertuturan kedua digunakan di negara ini.

"Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti diperkenalkan di dalam Ko-Akademik Bahasa Inggeris seperti aktiviti ‘public speaking’, ‘story telling, ‘poetry recitation’ dan ‘scrabble’ telah membuka ruang kepada murid-murid sekolah rendah untuk mengetengahkan bakat sedia ada bagi membina keyakinan diri dan kebolehan menggunakan bahasa ini dengan fasih dan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Ko-Akademik Bahasa Inggeris Peringkat Daerah Maran 2017 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Maran dengan kerjasama Kelompok Jempol selaku tuan rumah, di Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2, di sini.

Sebanyak 34 sekolah rendah di daerah Maran menghantar peserta untuk menyertai pertandingan yang diadakan untuk memilih wakil terbaik Daerah Maran ke peringkat negeri.

Ahmad Nahran berkata, ia juga merupakan pertandingan yang memupuk semangat kerjasama dalam kalangan guru-guru Bahasa Inggeris di daerah ini di samping mencungkil kebolehan murid-murid menggunakan bahasa berkenaan.

Wakil dari SK (LKTP) Jengka 12 menjadi Johan dalam pertandingan ‘public speaking’, manakala murid dari SK Bandar Pusat menjuarai pertandingan ‘story telling’ dan peserta dari SK Seri Keramat menjadi johan pertandingan ‘poetry recitation’ serta wakil dari SK (LKTP) Jengka 17 mengungguli pertandingan ‘scrabble’.


0 comments:

share2