Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 27, 2016

PENARIKAN PRODUK MARS, SNICKERS TIDAK LIBATKAN MALAYSIA


Penarikan produk Mars, Snickers tidak libatkan Malaysia


Putrajaya - Penarikan balik produk jenama Mars dan Snickers, Milky Way dan Celebration yang dikilangkan di Belanda susulan penemuan kepingan plastik oleh seorang pembeli di Jerman 8 Januari lalu tidak melibatkan produk yang dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hanya produk yang dikilangkan pada tarikh di antara 5 Disember 2015 sehingga 18 Januari 2016 dan dilabel "Mars Netherland" terlibat.

"Pihak kedutaan kerajaan Belanda di Malaysia telah mengesahkan bahawa semua produk terbabit yang dieksport telah ditarik balik oleh pihak syarikat manakala penarikan balik produk terbabit di pasaran tempatan Belanda sedang dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, Syarikat Mars Malaysia telah mengesahkan bahawa penarikan balik produk terbabit tidak melibatkan produk yang dijual di Malaysia memandangkan produk yang dijual di Malaysia diimport dari China, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.


0 comments:

share2