Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 26, 2017

HAJI: MALAYSIA HARGAI PENGIKTIRAFAN ARAB SAUDI


Haji: Malaysia hargai pengiktirafan Arab Saudi


Malaysia menghargai peng­iktirafan kerajaan Arab Saudi yang memilih Malaysia sebagai negara pertama di dunia dalam melaksanakan program prapelepasan jemaah haji dan berharap inovasi itu dapat diteruskan pada musim haji akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu adalah inovasi yang baik dan seluruh dunia wajar memberi pujian kepada kerajaan Arab Saudi, kerana ia dapat mempercepatkan proses pemeriksaan imgresen dan kastam di lapangan terbang di negara berkenaan.

"Kita berharap model kepada Malaysia ini menjadi contoh (kepada negara lain),” katanya kepada pemberita selepas melawat maktab penginapan jemaah haji Malaysia di Hotel Awttad Makkah di sini, Jumaat.

Turut hadir, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia memperoleh peng­iktirafan daripada kerajaan Arab Saudi a­pabila dipilih menjadi negara pertama di dunia menjalankan program prapelepasan jemaah haji pada tahun ini.

Beliau berkata, program itu membolehkan jemaah haji diberi prapelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum berlepas dan mereka tidak perlu menjalankan proses pemeriksaan pasport dan kastam di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.

Program prapelepasan itu akan membabitkan tujuh penerbangan akhir ke Jeddah bermula, semalam hingga Ahad ini.

Asyraf Wajdi seterusnya berkata Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memilih Malaysia sebagai negara perintis dalam program prapelepasan jemaah haji itu.

Hasilnya, beliau berkata kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dalam program perintis itu diberikan laluan khas tanpa perlu melalui pemeriksaan imgresen dan kastam, ​​​​sekali gus mengambil masa begitu singkat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz , Jeddah, semalam.

Beliau berkata rakyat Malaysia sepatutnya merasa bertuah kerana dalam kalangan banyak negara di dunia, Malaysia dipilih oleh kerajaan Arab Saudi dalam melaksanakan program perintis itu.

"Sudah tentu ada keistimewaannya dan tidak perlu diungkapkan berulang kali kerana Malaysia sering mendapat pujian dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.

"Ini kerana, kita satu-satunya negara yang mempunyai sistem pengurusan haji yang begitu holistik, sempurna bermula daripada berangkat, semasa dan proses menyambut (ketibaan jemaah haji) di Tanah Suci,” katanya.


0 comments:

share2