Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 25, 2017

KAEDAH JUAL, PIAWAI STANDARD DURIAN AKAN DIPERKENAL


Kaedah jual, piawai standard durian akan diperkenal


Penjualan durian berasaskan timbang bersama biji dan kulit akan dipertimbangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, memandangkan terdapat beberapa pihak yang mahu ia dikaji semula.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan memperkenalkan satu piawaian standard durian berasaskan kepada jenis buah itu bagi memastikan pembeli tidak tertipu.

Menurutnya, isu pengguna tertipu dalam penjualan durian perlu diberi perhatian bagi memastikan pembeli raja buah itu tidak terus mengalami kerugian.

"Ini (kaedah jual durian) merupakan satu pandangan yang perlu diberi perhatian kerana keputusan dibuat sebelum ini durian dijual pada kilogram dan dijual bersama kulitnya tetapi kulitnya tidak dimakan.

"Jadi pandangan ini perlu dipertimbangkan kembali dan isu yang kedua perlu adanya satu piawaian atau pun standard durian kita yang mesti diperkenalkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan kerja ke kawasan tanaman halia di Bukit Tinggi, di sini hari ini

Turut serta, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pegawai Daerah, Datuk Azhar Arshad.

Ahmad Shabery berkata, kaedah piawaian jenis buah durian perlu diperkenalkan dan dipatuhi penjual bagi mengelakkan pembeli tertipu dalam membeli pelbagai jenis durian yang ada pada masa ini.

"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan jabatan standard sudah pun memulakan kerjanya supaya durian yang dijual itu adalah asli iaitu contohnya orang yang membeli durian Musang King betul-betul mendapat Musang King," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pengeluaran halia Bentong yang dilihat amat istimewa dan mendapat permintaan tinggi dari masyarakat dalam dan luar negara perlu dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pihak kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak akan berusaha menggandakan jumlah pengeluaran halia Bentong yang kini merekodkan pengeluaran kira-kira 7,000 tan metrik setahun.

"Perkara utama ialah soal tanah kerana halia Bentong hanya boleh dikeluarkan di Bentong yang mana belum ada teknologi untuk bawa halia Bentong ke tempat lain malah tanah yang digunakan untuk penanaman halia Bentong juga perlu direhatkan dua atau tiga tahun.

"Jadi kita memerlukan kerjasama dari pejabat tanah dan sebagainya untuk melihat bagaimana cara penggunaan tanah kerana seboleh-bolehnya kita mahu menggandakan (pengeluaran halia Bentong) dalam masa beberapa tahun,” katanay.

Menurutnya, pada masa ini jumlah pengeluaran halia negara masih rendah iaitu kira-kira 13 tan metrik halia setahun menyebabkan negara terpaksa mengimport kira-kira 30,000 tan metrik halia setahun.

Katanya, pengeluaran halia Bentong di kawasan seluas kira-kira 395 hektar pada masa ini ialah kira-kira 7,000 tan metrik iaitu melebihi separuh daripada pengeluaran halia negara.

"Pihak kementerian akan membina sebuah pusat pengumpulan dan pemasaran pertanian bernilai kira-kira RM1 juta di Bukit Tinggi di sini bagi membantu memasarkan hasil pertanian segar di daerah ini.

"Kita telah mengenal pasti lokasi pusat berkenaan yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini," katanya.


0 comments:

share2