Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 17, 2017

[KUANTAN] PINDAH KAYU BALAK WAKTU MALAM


Pindah kayu balak waktu malam


Taktik licik pemandu lori membawa muatan kayu balak bergerak pada waktu malam dan menggunakan nombor lesen palsu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila mereka ditahan Unit Penguat kuasa (UPK) Pahang Timur, Jabatan Perhutanan Negeri.

Dua lelaki berumur 43 dan 45 yang juga pemandu lori serta pembantunya ditahan ketika cuba memindahkan 16 kayu balak pelbagai jenis bernilai lebih RM7,000 secara haram menggunakan lori di Jalan Pintasan Kuantan - Pelabuhan kira-kira 7.30 malam kelmarin.

Penolong Pengarah Kanan UPK Pahang Timur Zahariah Zainal Abidin berkata, pihaknya masih menyiasat lokasi balak jenis meranti, sarang punai, meranti tembaga, merawan dan mersawa itu di tebang sebelum dipindahkan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kini disiasat bagi mendapat lebih banyak maklumat berhubung kegiatan dilakukan terutama membabitkan lokasi hutan dan pihak lain yang turut sama terbabit.

“Hasil soal siasat, lelaki itu mendakwa kayu balak berkenaan akan dihantar ke kilang papan di Terengganu.

“Malah mereka juga menggunakan taktik bergerak waktu malam dan guna nombor lesen palsu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya .

Katanya, lelaki terbabit juga turut melakukan aktiviti menebang pokok balak secara haram sebelum bertindak memindahkan kayu berkenaan menggunakan lori balak.

Tambahnya, kejayaan menumpaskan aktiviti haram kelmarin hasil kesungguhan anggota UPK Timur yang melakukan pemantauan dan sekatan jalan raya di Jalan Pintasan Kuantan - Pelabuhan yang dikenal pasti menjadi laluan utama kegiatan memindahkan kayu balak secara tidak sah.

“Kita sudah mengarahkan anggota UPK Pahang Timur sentiasa ronda di kawasan panas selain menjalinkan kerjasama dan bertukar maklumat dengan masyarakat setempat,” katanya.


0 comments:

share2