Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 17, 2017

[BERA] 'BANGGA DENGAN NEGARA KITA DULU'


‘Bangga dengan negara kita dulu’


Semangat menyambut hari kemerdekaan dalam kalangan segelintir anak muda pada masa kini agak mengecewakan apabila dilihat kurang penghayatan.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Tahzir Husain berkata, keadaan ini jauh berbeza dengan generasi sebelum teknologi berkembang pesat seperti kini.

“Kalau dulu, kita teruja menantikan bulan Ogos, kerana kita mahu sertai aktiviti dijalankan dan melihat perarakan pada 31 Ogos yang diadakan pada peringkat kebangsaan setiap tahun.

“Tapi sekarang, ramai tidak kisah dengan tarikh keramat itu. Malah, sanggup bersenang-lenang di rumah untuk berehat semata-mata,” katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera, semalam.

Katanya, walaupun terkilan dan kecewa dengan sikap orang muda kini, namun perkara ini dapat diperbaiki dengan menerapkan semangat itu pada generasi baharu yang masih di peringkat sekolah.

“Usaha pihak sekolah melaksanakan kepelbagaian aktiviti berkaitan kemerdekaan seharusnya dipuji dan diberi penghargaan kerana mampu mengubah persepsi pelajar terhadap semangat kemerdekaan in,” katanya.

Pada program itu, pihaknya turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada warga untuk dikibarkan sepanjang Ogos ini.

Seorang pelajar, Muhd Aimie Haikal Nor Azman, 16, berkata, setiap kali menjelang bulan kemerdekaan, dia teruja dan akan menyertai setiap aktiviti yang diadakan.

Katanya, selain beri sokongan pada pihak sekolah, dia juga berusaha memupuk semangat patriotisme dalam dirinya agar tidak mudah lupa diri.

“Generasi sekarang sangat terdedah kepada penjajahan perilaku dan pemikiran dengan terikut-ikut budaya luar.

"K-pop contohnya, ia melalaikan kalau kita terlalu asyik. Tak salah kalau nak ikut trend, tapi berpada-padalah. Kalau kita sayang Malaysia, kita kena bangga dengan negara kita dulu,” katanya.


0 comments:

share2