Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 17, 2017

'ATAS DASAR APA TUDUH PM?'


Foto: Sinar Harian


Hulu Selangor: Umno dan BN Selangor mengutuk tuduhan tidak berasas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku di forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, tuduhan tersebut dipersoalkan kerana perdana menteri sebelum ini tidak menyatakan komitmen untuk menghadiri forum anjuran Armada Bersatu itu.

Menurutnya, Umno dan BN Selangor menyifatkan tuduhan tidak berasas oleh Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebagai tindakan terdesak bagi menutup lompang dalam Pakatan Harapan.

“Atas dasar dan bukti apa tuduhan berkenaan dilontar kepada perdana menteri? Umum mengetahui sejak Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berdamping dengan bekas seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai penyokong pembangkang termasuk mereka yang menyokong gerakan reformasi sebelum ini tidak merestui keputusan yang dicapai untuk berdamai dengan Mahathir.

“Bagi mereka, tindakan Mahathir yang cuba membunuh karier politik Datuk Seri Anwar sebelum ini tidak boleh dimaafkan sehingga menggelar veteran politik itu dengan pelbagai gelaran seperti ‘Mahafiruan’ dan ‘Mahazalim’,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Nadzari yang turut memuat naik kenyataan tersebut di akaun Facebook miliknya berkata, penganjur forum berkenaan perlu dipersalahkan kerana berkompromi dengan aspek keselamatan termasuk peserta yang membawa masuk suar api.

Menurutnya, kejadian kekecohan itu menimbulkan keraguan dengan kemungkinan sengaja diadakan bagi menutup gambaran sebenar kegagalan forum tersebut.

“Bagaimana suar api boleh dibawa masuk ke dalam dewan?. Mengapa perjalanan forum termasuk ketika sesi soal jawab tidak dikawal dan kelihatan insiden terpekik, terjerit dan beremosi mengambil tempat? Adakah mungkin insiden berkenaan sengaja direka atau ia merupakan lakonan bagi memburukkan parti lawan mereka?” katanya.

Nadzari yang juga Adun Batang Kali berkata, Umno dan BN Selangor menyokong penuh hak mengamalkan demokrasi dan menolak sebarang bentuk keganasan.

Menurutnya, tindakan pemimpin pembangkang yang sering menuding jari mencari salah orang lain ketika berdepan isu hanya memakan diri mereka sendiri.

“Kita akan terus mengamalkan politik matang dan percaya kebenaran akhirnya akan muncul di sebalik fitnah dan tohmahan yang dilempar,” katanya.


0 comments:

share2