Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 2, 2017

[KUANTAN] MARTABATKAN KARYA PUISI, SENI BUDAYA


Martabatkan karya puisi, seni budaya



Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan menggesa kerajaan negeri dan badan kebudayaan merancang penyusunan baharu agar aktiviti seni dan kebudayaan negeri terus diangkat setanding dengan aktiviti-aktiviti lain.

Ketua Penerangan MBFM Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, saban tahun ketika sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan akan diadakan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan baik dari kesenian dan kebudayaan moden hinggalah tradisional tidak terkecuali pertandingan deklamasi puisi.

Menurutnya, usaha mengangkat kembali karya puisi di kalangan generasi baharu Felda amat serius dilakukan Felda sebagai platform melahirkan generasi seni yang mampu menghidupkan kembali aktiviti tersebut.

“Jadi kita berharap agar aktiviti seni di peringkat daerah dan negeri diambil serius badan-badan kebudayaan dari sudut pembangunan dan programnya yang dilihat terlalu perlahan.

“Sedangkan kita dapati ada dalam kalangan generasi baharu di kawasan bandar dan luar bandar terlibat dalam bidang seni budaya ini namun kerancakannya tidak seperti di negeri lain,” katanya.

Asrullah berkata, tidak semua generasi muda itu minat dalam aktiviti sukan dan sukan lasak semata-mata, aktiviti seni juga perlu dilihat sebagai satu industri yang mampu merapatkan semua pihak dan mengangkat identiti sesebuah negara.

“Di peringkat badan belia Felda dan badan-badan NGO lain di negeri ini kami tidak mendapat sepenuhnya kerjasama untuk mengangkat aktiviti seni budaya di peringkat akar umbi memandangkan tidak ada pihak mengatur dan menyusun aktiviti seni secara berterusan saban tahun di peringkat daerah dan juga negeri secara amnya,” katanya.

Justeru katanya, MBFM dan Ikatan Seni Kebudayaan Anak Felda Malaysia komited mengangkat martabat puisi di peringkat kebangsaan dan sentiasa menyokong segala usaha yang ingin dilaksanakan pihak berkenaan ke arah satu perubahan baharu.

0 comments:

share2