Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 2, 2017

[KERAYONG] MOHON BANTUAN KATIL BOLEH LARAS


Mohon bantuan katil boleh laras


Kecacatan fizikal dialami Muhammad Nadjmi Hassim, 19, sejak lahir membuatkan semua tulangnya tidak dapat digerakkan dengan sempurna malah kerap mengalami kekejangan saraf.

Menurut ibunya, Rosmawati Jamaludin, 54, anaknya itu memerlukan sebuah katil bagi membolehkannya bersandar dengan selesa selain memudahkan beliau menguruskan Muhammad Nadjmi.

“Memang sekarang ni, dia terlantar saja. Tapi ada masanya dia perlu bersandar atau berpangku pada saya. Kalau lepas makan, memang dia bersandar dulu untuk sendawa supaya perut dia selesa.

“Jadi kalau dapat katil yang boleh laras tu, mudah lah sikit. Dia pun bukannya ringan nak angkat, lagi-lagi saya ni dah berumur juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kerayong Makmur, semalam.

Muhammad Nadjmi yang lebih mesra dipanggil Adik itu mempunyai jiwa sensitif kerana tidak boleh menerima bunyi terlalu kuat atau suara yang tidak dikenali, malah akan mudah menangis jika perasaannya tersentuh.

Rosmawati berkata, keinginan untuk mendapatkan katil untuk anaknya itu selepas melihat keselesaan Adik berada di hospital bagi menjalani pembedahan.

Katanya sebelum ini, dia tidak pernah terfikir untuk membelikan atau memohon kemudahan itu kerana beranggapan dia mampu menguruskan Adik sepanjang masa.

“Dulu, kakaknya boleh jaga tapi sekarang kakak pun dah kerja susahlah sikit. Sepenuh masa saya menjaganya, bergilir dengan suami.

“Kalau waktu petang, cucu saya akan datang ke sini. Selalulah dia naik atas badan pakciknya ni. Kalau dia tak tahan kena usik, dia menangis. Lepas tu, dia nak saya saja yang memujuknya,” katanya.

Bagaimanapun, Rosmawati memaklumkan, pihak Jawatankuasa KRT Kerayong Makmur sedang mengusahakan untuk mendapatkan bantuan katil anaknya itu daripada pihak berkenaan.


0 comments:

share2