Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 17, 2017

[KUANTAN] BAUKSIT: TERKILAN PENJAWAT AWAM TERLIBAT SUBAHAT


Tengku Abdullah Ahmad Shah


Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa terkilan kerana ada di kalangan kakitangan awam di negeri ini sanggup bersengkongkol dengan pihak tertentu melakukan aktiviti perlombongan bauksit secara haram walaupun dalam tempoh moratorium.

Tengku Abdullah bertitah perbuatan itu harus dihentikan dan berharap tangkapan yang dilakukan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 11 individu termasuk 10 kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dapat dijadikan sebagai satu pengajaran.

"SPRM mempunyai asas dan bukti yang kukuh sebelum bertindak dan saya harap ini dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat secara langsung dan (secara) haram supaya mereka harus mengikut prosedur dan kaedah diperakui oleh kerajaan (dalam menjalankan aktiviti perlombongan).

Saya juga terkilan ada yang kena tangkap dan didakwa itu merupakan pegawai kerajaan sendiri khususnya PTG. Saya harap ia dapat dihentikan dan jangan buat lagi, ingatlah kepada anak cucu dan keluarga kerana tindakan ini akan beri kesan kepada mereka,” titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan berangkat ke majlis penyerahan dan penerimaan cek zakat perniagaan daripada lima badan korporat di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.

Baginda turut mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh SPRM dengan menyita 10 juta tan metrik bauksit di daerah ini bagi menghalang bahan tersebut dibawa keluar dari tempat penyimpanannya.

SPRM sebelum ini telah menyita keseluruhan kawasan simpanan stok bauksit di Pahang terutama di Bukit Goh bagi membantu siasatan terhadap isu perlombongan bauksit haram dan penyitaan dilakukan mengikut Seksyen 33 Akta SPRM 2009.

Sebelum itu, Tengku Abdullah berkenan menyempurnakan majlis penyerahan dan penerimaan zakat oleh lima badan koporat dengan melibatkan jumlah zakat lebih RM4.9 juta.


0 comments:

share2