Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 17, 2017

TEMBELANG REMAJA PECAH SELEPAS DICEKUP


sad


Seri Manjung - Menunjukkan kelakuan baik dan sering ke masjid, itu taktik digunakan seorang remaja berusia 18 tahun, di sini bagi mengelak aktiviti penagihan dadahnya dikesan oleh kedua orang tuanya.

Bagaimanapun tembelangnya pecah apabila dia ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Manjung ketika melepaskan gian di 'port' di sebuah taman perumahan di sini semalam.

Remaja berkenaan antara 32 orang yang ditahan positif pelbagai jenis dadah dalam operasi selama dua hari bermula Selasa lalu di sekitar Sitiawan, Lekir dan Pulau Pangkor.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata, remaja lelaki berkenaan yang tidak bekerja dikatakan mengambil dadah sejak dua tahun lalu.

"Menurut cerita remaja itu dia telah terjebak dengan najis dadah sejak dua tahun lalu iaitu ketika di bangku sekolah lagi. Namun perbuatannya tidak diketahui ibu bapanya kerana menunjukkan kelakuan baik selain sering ke masjid.

"Apabila kita memanggil ibu bapanya, mereka terkejut dan tidak sangka anaknya terlibat dengan najis dadah," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat AADK daerah Manjung, di sini semalam.

Khairul Anwar berkata, ibu bapa remaja berkenaan memohon untuk menjamin anaknya kerana mahu memberi peluang untuk berubah.

"Kami ingin mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu mempercayai anak-anak dan segala pergerakan mereka perlu dipantau dengan teliti," katanya.


0 comments:

share2