Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 6, 2017

GELOMBANG AL-QURAN DI UIAM


Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin


Shah Alam - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, sekali lagi akan menjadi lokasi perdana World #QuranHour pada 9 Zulhijah 1438H, bersamaan 31 Ogos ini.

Sekretariat World #QuranHour UIAM, Siti Aisyah Ibrahim berkata, tahun ini dijangkakan 4,000 peserta berkumpul untuk berinteraksi dengan al-Quran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, yang menjadi tumpuan dunia pada hari tersebut.

Menurutnya, ia bersesuaian dengan kekuatan UIAM yang mempunyai lebih 10,000 alumni antarabangsa dari 125 negara dan 5,000 penuntut antarabangsa dari 100 negara untuk menyahut gelombang al-Quran.

Katanya, pihak universiti melalui Jabatan Alumni dan Jaringan Global UIAM, Pejabat Timbalan Rektor (Pengantarabangsaan, Hubungan Industri dan Komuniti) serta Masjid Sultan Haji Ahmad Shah kini giat buat persiapan untuk program bertaraf global itu.

“Cabaran kali ini, apabila ramai warga UIAM termasuk penuntut antarabangsa pulang kerana bercuti panjang.

"Bagaimanapun, kami gembira kerana mereka boleh menyertai World #QuranHour di lokasi lain di seluruh tanah air, mahupun di negara masing-masing. Sehingga kini, kami masih mengemas kini senarai lokasi luar negara,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Alumni dan Jaringan Global UIAM.

Siti Aisyah berkata, antara negara terlibat menyertai World #QuranHour ialah Australia, Maldives, New Zealand, India, Korea Selatan, Indonesia dan Kemboja.

"Pensyarah dan penuntut yang tidak pulang, dijemput datang bersama keluarga menjayakan World #QuranHour. Masyarakat di sekitar Gombak turut dialu-alukan menyertai program kerohanian ini.

“Alhamdulillah, kami mendapat respons sangat baik dalam kalangan warga UIAM sebelum dan selepas World #QuranHour.

"Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin amat menyokong program ini dan telah melancarkan program UIAM #QuranHour yang dianjurkan untuk kakitangan.

“Tahun lalu, UIAM dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah menganjurkan World Women #QuranHour sempena Sidang Kemuncak Wanita Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Kini, Rumah Ngaji turut diwujudkan di Jabatan Pusat Perkhidmatan Kaunseling & Kerjaya, dan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM sebagai platform untuk baca, faham dan amal al-Quran,” katanya.

Siti Aisyah memberitahu, kempen #QuranHour selari dengan falsafah UIAM yang meletakkan al-Quran sebagai pedoman hidup dan sumber tertinggi ilmu.

"Kedua-duanya mengajak umat Islam mendekatkan diri dengan al-Quran dan menghidupkan ajaran-NYA di dalam diri.

“Saya harap kempen World #QuranHour mampu menyuntik hati masyarakat menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan, melalui baca, faham dan amal," katanya.

Menurutnya, tema Dunia Berbudi dan Penyayang yang mengetengahkan pengisian surah Yasin juga diharap dapat menarik minat semua lapisan masyarakat, sama ada yang mahir, kurang mahir atau tidak tahu membaca al-Quran.

“Apabila semua orang berkumpul dan berinteraksi dengan al-Quran, diharap kita dapat mencapai kehidupan dunia lebih baik melalui umat berbudi dan penyayang.

"Ini adalah tanggungjawab kita untuk mencipta dunia lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.


0 comments:

share2