Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 6, 2017

ORANG ASLI DIBERI KEFAHAMAN PENDIDIKAN TINGGI


Mary Yap


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam membantu masyarakat dan anak-anak Orang Asli untuk terus mencari peluang dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui Program Jelajah UPU 2017.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata program itu bertujuan mendedahkan masyarakat Orang Asli kepada prosedur melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi termasuk politeknik dan kolej komuniti serta kursus yang ditawarkan.

“Program jelajah ini juga bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli mengenai institusi-institusi yang menawarkan program pembelajaran sepanjang hayat dengan kaedah pembelajaran yang berbeza daripada kaedah pendidikan formal,” katanya dalam ucapan perasmian Program Jelajah UPU 2017 bersama Masyarakat Orang Asli di sini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar KPT Mazula Sabudin.

Yap juga berkata, Skim Pengesanan Graduan pada tahun lepas mendapati kebolehpasaran graduan dalam bidang pekerjaan yang tinggi di Malaysia adalah daripada kolej komuniti iaitu sebanyak 97.2 peratus.

“Kolej komuniti telah melahirkan ramai graduan yang bergelar usahawan dalam bidang fesyen, industri pemakanan, automotif, pembinaan dan landskap, agroteknologi dan akuakultur, teknologi maklumat, perkhidmatan dan peruncitan, spa dan kecantikan dan dandanan rambut,” katanya.

Sementara itu, seorang alumni Kolej Komuniti Jelebu yang merupakan anak Orang Asli, Marani A/P Achong, 21berkata dia turut sama terlibat dalam program jelajah hari ini kerana ingin memberi kesedaran kepada rakan-rakannya tentang kepentingan pembelajaran di peringkat tinggi.

“Selepas tamat pengajian Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian, saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di politeknik,” katanya.

Sebanyak 19 institusi pengajian awam turut serta dalam program hari ini dan mempromosikan bidang ditawarkan mereka.


0 comments:

share2