Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 25, 2017

TUDUHAN PARLIMEN SEMBUNYIKAN ISU 1MDB TIDAK BERASAS - AZALINA


Tuduhan Parlimen sembunyikan isu 1MDB tidak berasas - Azalina


Kuala Lumpur - Tindakan pihak pembangkang yang mendakwa Parlimen sengaja menyembunyikan keterangan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak berasas, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata dakwaan tiada satu soalan pun berhubung 1MDB dijawab adalah tidak tepat kerana terdapat empat soalan mengenai 1MDB iaitu daripada anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Kelana Jaya, Seremban dan Segambut yang telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

"Soalan-soalan yang tidak tersenarai mungkin berada dalam pertimbangan mahkamah atau bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan pihak pembangkang memperbesarkan isu itu menunjukkan mereka ketandusan isu untuk dibawa ke Parlimen, sedangkan mereka harus memberi keutamaan kepada isu rakyat setempat di kawasan masing-masing dan bukannya mengitar semula isu sama.

"Saya berharap semua anggota Parlimen khususnya pembangkang memanfaatkan tempoh 12 hari persidangan ini serta mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang telah ditetapkan," katanya.

Terdahulu, sesi soal jawab pada hari pertama sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas beberapa anggota Parlimen pembangkang mempertikaikan keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak pertanyaan mereka berkenaan isu 1MDB.

Menurut Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ismail Mohamed Said, penolakan pertanyaan soal jawab lisan itu pada sesi Dewan Rakyat kali ini, antara lain adalah disebabkan faktor subjudis.

Ismail berkata keputusan penolakan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan ia adalah muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat 99.


0 comments:

share2