Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 25, 2017

ALASAN DEMI ALASAN SERLAH SIKAP SEBENAR KERAJAAN DAP P.PINANG


Image result for dap


Selepas kemelut dengan Ja­ba­tan Pertubuhan Pendaftaran (ROS), DAP yang menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya mengelak daripada mencetuskan masalah dengan pihak lain, lebih-lebih lagi de­ngan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang berdolak-dalik dalam isu menandatangani Ikrar Bebas Ra­suah (IBR) sehingga ditegur Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkfli Ahmad hanya menyerlahkan lagi sikap angkuh kerajaan negeri dalam berdepan agensi Kerajaan Pusat.

Dari awal-awal lagi SPRM menegaskan IBR adalah inisiatif secara sukarela. Maka apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang membangkitkan soal surat jemputan sebagai sebab tidak menandata­nganinya, ia memperlihatkan kerajaan negeri seolah-olah me­reka-reka pelbagai cerita.

Dalam masa sama, alasan demi alasan itu juga memberi gambaran yang salah kepada masyarakat khususnya penyokong pembangkang tentang bagaimana sepatutnya mereka berurusan dengan pihak berkuasa.

Tindak-tanduk yang dilihat seolah-olah memperlekeh pihak berkuasa itu boleh menjadi ikutan dalam kalangan penyokong mereka ketika perlu berdepan dengan agensi kerajaan.

Adakah budaya menentang secara membuta tuli dan menyusahkan pihak lain dengan alasan remeh seperti dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang dan DAP ini mahu dijadikan budaya oleh pembangkang?

Dalam isu IBR misalnya, tidak ada cacat celanya usaha SPRM itu yang bermatlamat menyebar luas kepentingan menolak budaya rasuah di semua peringkat.

Apatah lagi di peringkat pentadbiran kerajaan negeri yang cukup terdedah dengan pemberian rasuah atau habuan untuk meluluskan projek-projek tertentu.

Sepatutnya usaha murni SPRM itu disambut baik serta tanpa sebarang kompromi sebagai komitmen Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam menolak budaya rasuah dan mengamalkan pentadbiran berintegriti.

Dari sudut imej dan nama baik kepada kerajaan negeri sendiri, menerima IBR itu tanpa banyak soal juga sekurang-kurangnya dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Ini terutamanya selepas rakyat mempersoalkan mengenai inte­griti pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang ekoran dua pendakwaan rasuah membabitkan Ketua Menteri mereka di mahkamah.

Guan Eng sendiri tidakkah mahu mengambil kesempatan daripada kerjasama dengan SPRM ini untuk sekurang-kurangnya membersihkan imejnya yang sedang didakwa di mahkamah ke­rana pembelian banglo di bawah harga pasaran dan penukaran status tanah?

Membandingkan ikrar IBR de­ngan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang kononnya menjadi teras pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini adalah dua perkara berbeza.

Prinsip CAT adalah sepenuh­nya di bawah seliaan kerajaan negeri, yang mungkin pada bila-bila masa boleh disesuaikan mengikut ‘selera’ atau ‘keperluan’.

Sementelah selepas hampir sembilan tahun pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, tidak banyak yang boleh dibanggakan menerusi dasar dan prinsip CAT melihat kepada isu serta kontroversi membabitkan ketelusan membabitkan kerajaan negeri.

Acap kali juga pelbagai pihak bangkit mempersoalkan sejauh mana kepatuhan Kerajaan DAP Pulau Pinang ini terhadap polis CAT ciptaan mereka sendiri ter­utama dalam menilai projek seperti te­rowong dasar laut dan pembinaan rumah-rumah mewah di lereng bukit.

Ini berbeza dengan IBR yang mana pemantauannya dilakukan sepenuhnya oleh SPRM sekali gus tidak membuka mana-mana ruang untuk dimanipulasi selain terikat dengan undang-undang dan akta sedia ada.

Kesediaan untuk bersama SPRM dalam inisiatif IBR ini merupakan petunjuk utama kepada pihak tertentu berhubung sejauh mana kesungguhan mereka menolak amalan rasuah.

Tetapi apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang memilih untuk memberi pelbagai alasan untuk tidak bersama inisiatif ini, ia sepatutnya membuka mata penduduk negeri ini berkenaan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan negeri dalam amalan prinsip CAT mereka.


0 comments:

share2