Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 25, 2017

STESEN MRT 'DISERANG' SELEPAS LIMA HARI BEROPERASI


Stesen MRT ‘diserang’ selepas lima hari beroperasi


Shah Alam - Projek Transit Aliran Masa (MRT) baru saja dirasmikan minggu lalu, namun sudah ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme terhadap kemudahan yang disediakan di stesen dan gerabaknya.

Perkara itu dikongsi Pengarah Komunikasi Strategik MyMRT, Najmuddin Abdullah dalam status Facebooknya, kelmarin.

“Apa yang menyedihkan saya, kemusnahan/vandalisme yang berlaku pada stesen kami, lima hari selepas operasi dimulakan.

“Banyak kesan calar pada kerusi dan dinding. Kerosakan dalam tandas-tandas OKU rosak dua hari hari lepas,” kongsinya.

Najmuddin turut hairan, bagaimana batang penyapu dan sportlight boleh berada di bumbung jalan keluar stesen Bukit Bintang.

Menurut Najmuddin, satu lagi perbuatan vandalisme berlaku di hentian Merdeka.

“Kemudian saya ke stesen Merdeka - satu lagi destinasi vandalisme yang popular. Rakan kerja @myrapidkl memberitahu terdapat kanak-kanak memanjat dinding Rukun Negara! Terdapat serpihan dinding tersebut di tangan saya (gambar). Tidak sopan langsung,” kongsinya.

Tambahnya lagi, beliau kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak menghargai kemudahan yang disediakan.

“Kami menyediakan kemudahan kelas pertama tetapi jika masyarakat tidak bersedia menerimanya dengan mentaliti kelas pertama, kita akan merugikan banyak duit dan masa untuk membaiki pulih kerosakan yang terjadi,” katanya.

Perkongsian Najmuddin turut mendapat perhatian dan komen ramai pengguna Facebook.

“Bila cikgu nak ajar anak murid bertugas kemas kelas, ibu bapa marah. Ini lah hasilnya,” komen daripada Mohd Redza Abdul Razak antara yang mendapat reaksi paling banyak.

“Ini merupakan tanggungjawab kita bersama sebagai komuniti dan berkata 'Maafkan saya. Hentikan! Jangan lakukan itu!'. Jika hanya seorang saja yang lakukan sementara yang lain hanya lihat dan beredar apa gunanya?” tegur Adhi JulaJuli.

“Maaf untuk mengatakan, kita mempunyai ramai ibu bapa yang tidak bertamadun, anak mereka hanya meniru apa yang dilakukan oleh ibu bapa. Saya melihat ramai anak-anak bersama ibu bapa di Ikea dan menggunakan pensel yang disediakan untuk melukis perabot, meja dan dinding, dan ibu bapa mereka hanya membiarkan mereka melakukannya tanpa memarahi atau menegur mereka untuk mengatakan ini adalah salah. Kanak-kanak hooligan (suka membuat masalah) berasal dari ibu bapa hooligan.” keluh Sally Yeoh.


0 comments:

share2