Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 31, 2017

TIGA CIRI POLITIK HEBAT ADA PADA UMNO - NAJIB


Tiga ciri politik hebat ada pada Umno: Najib


Parti politik yang hebat perlu mempunyai falsafah, ideologi dan tunjang perjuangan yang jelas, kata Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Umno sememangnya mempunyai ketiga tiga ciri tersebut yang amat jelas dan dapat disaksikan sekian lama.

Menurutnya, parti itu wujud sejak 1946 dan bertahan selama 71 tahun dengan tempoh 60 tahun memegang tampuk pentadbiran serta pemerintahan.

“Selama 60 tahun ini Umno tak pernah tergelincir dari memegang tampuk pemerintahan. Itu adalah rekod yang membanggakan parti. Kalau pembangkang cuba ambil alih tampuk pemerintahan negara apakah parti-parti itu jelas akan falsafah, ideologi dan’substance’ perjuangannya?

“Tak mungkin parti yang mempunyai tiga nakhoda mempunyai ketiga-tiga tersebut. Nak pilih Perdana Menteri pun tak tahu siapa. Ada pula istilah interim Perdana Menteri.

"Kita nak beli online pun kita nak tengok pelbagai segi, inikan pula nak pilih pemimpin negara. Kita nak tahu siapa pemimpin baru, dah tahu baharulah boleh buat keputusan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Maran di Dewan Umno Pekan Tajau di sini, semalam.

Najib berkata, Umno dalam pemerintahannya mempertahankan agama, memperkenalkan kecemerlangan negara ke persada antarabangsa dan berjaya dari segi perkembangan ekonomi.

"Ekonomi negara berkembang kepada 5.6 peratus suku pertama tahun ini, meskipun harga minyak merudum. Namun Malaysia masih mampu meneruskan proses pembangunan dalam negara.

"Menang ada peruntukan yang kita kena ‘cut off’ sebab nak jaga perbelanjaan negara. Tetapi kebanyakannya diteruskan dengan kejayaan perlaksanaan GST. Tanpa GST tak mungkin ekonomi boleh bertahan," katanya.

Beliau berkata, rakyat seharusnya bijak menilai bahawa apabila ekonomi meningkat, maka hasil negara meningkat yang mana sekali gus boleh diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar.

"Kalau tak ada hasil negara macam mana kita nak pertimbangkan (peruntukan luar bandar). Pokoknya teori ekonomi mesti faham. Projek MRT yang diumumkan serta projek ECRL yang akan saya lancarkan pada bulan Ogos nanti contohnya, akan menjana pendapatan dan peluang pekerjaan ramai anak-anak tempatan.

"Saya akan melancarkan East Cost Rel (Ecrl) akan melalui Maran, Kuantan, Temerloh, sampai ke Kelantan. Kejayaan projek ini akan mengalirkan hasil kepada anak-anak dan penduduk tempatan juga. Ribuan rakyat bakal peroleh pekerjaan.

"Seramai 130,000 anak muda bakal mendapat peluang pekerjaan dalam projek MRT di Kuala Lipis,” katanya.

Najib berkata, setiap November, Disember dan Januari pula pekebun kecil dapat bantuan musim tengkujuh. Semua itu hasil negara yang disalurkan semula kepada rakyat.


0 comments:

share2