Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 30, 2017

[MARAN] RM3 JUTA UNTUK DEWAN BAHARU BUKIT TAJAU


RM3 juta untuk dewan baharu Bukit Tajau


Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk projek bangunan baharu Dewan Umno Pekan Tajau di Simpang Jengka, di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Maran, di hadapan lebih 5,000 pengunjung serta ahli parti itu sempena mesyuarat yang diadakan serentak dengan Karnival Kerjaya Maran 2017, anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Saya tengok dewan ini pun sudah memerlukan dana. Dengan itu saya bersetuju mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk Dewan Umno Pekan Tajau. Gunakanlah peruntukan tersebut sebaik mungkin.

"Bila ada projek infrastruktur sebegini anak Maran boleh mendapat peluang pekerjaan. Kita bukan nak jadi juara kampung, tapi kita nak berjaya seantero dunia. Bila berjaya orang hormat," katanya yang turut meluangkan masa melawat Karnival Kerjaya Maran.

Lebih 18 syarikat gergasi menyertai karnival yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan itu.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Maran, Dato' Sri Ismail Muttalib berkata, walaupun dewan tersebut usang dan lama tetapi setiap kegiatan masyarakat dan aktiviti Umno masih dijalankan di dewan tersebut.

Menurutnya, pembinaan dewan baharu bukan sahaja membolehkan lebih banyak kegiatan, program dan aktiviti diadakan, malah secara tidak langung meningkatkan lagi semangat ahli-ahli Umno untuk lebih cemerlang berkhidmat.

Katanya, Ahli Umno Bahagian Maran akan bekerja keras untuk mempertahankan tiga kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU lalu.

"Kita berazam menambahkan majoriti di mana semua jentera Umno termasuk jalinan rakyat, Puteri dan Pemuda yang telah turun padang sekian lama untuk mendekatkan akar umbi dengan menerangkan segala dasar dan perjuangan parti serta kerajaan.

"Hal ini supaya rakyat mengetahui usaha dijalankan kerajaan BN ditunjangi Umno," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap ahli Umno menyokong saranan Perdana Menteri iaitu bukan setakat menjadi Ahli kepada parti tetapi perlu menjadi orang Umno yang memahami perjuangan parti dan akar umbi.


0 comments:

share2