Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 6, 2017

[ROMPIN] ANJUR AKTIVITI MEMANAH DI MASJID


Anjur aktiviti memanah di masjid


Bagi mempelbagaikan aktiviti luar untuk menarik golongan belia hadir ke masjid, sukan memanah menjadi pilihan pihak pengurusan Masjid Tengku Mahkota Abdullah Kuala Rompin, di sini.

Keputusan yang dibuat sebelum Ramadan lalu itu nyata tidak sia-sia apabila sukan sunnah itu mula mendapat perhatian para jemaah dan belia.

Pengerusi Biro Belia Masjid, Mohd Hafiz Bakar berkata, kawasan luar masjid yang luas tidak menjadi masalah untuk dijadikan lapang sasar bagi aktiviti memanah itu.

Menurutnya, sebanyak empat set panah lengkap bersama dengan kelengkapan keselamatan telah dibeli melalui dana masjid yang diluluskan oleh pihak pengurusan.

“Kita telah bincang dan pelbagai jenis sukan dicadangkan namun melihat kepada kawasan luar masjid, ia amat sesuai dengan sukan memanah kerana ada padang yang luas.

“Seminggu sebelum raya baru ini barang-barang telah sampai dan kita terus mulakan aktiviti setiap petang, tak sangka ia dapat sambutan yang amat baik daripada jemaah, belia dan segelintir golongan wanita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Hafiz berkata, melihat kepada sambutan itu beliau meminta para jemaah terlibat supaya uar-uarkan aktiviti berkenaan agar dapat menarik lebih ramai untuk menyertainya.

Beliau yakin dalam masa singkat sambutan terhadap aktiviti itu akan meningkat kerana ia tidak dikenakan bayaran namun bercadang akan memperkenalkan kaedah keahlian.

“Kita tak kenakan bayaran tetapi selepas guna kaedah keahlian, peserta hanya perlu bayar yuran ahli, itu pun sebenarnya satu bentuk langkah keselamatan bagi membolehkan kita tahu siapa yang main atau menggunakan set panah,” katanya.

Selaras dengan tujuannya, pada peringkat awal Mohd Hafiz melihat ada belia yang sebelum ini jarang dilihat di masjid sudah mula datang dan ia merupakan petanda positif.

Jemaah masjid terlibat gembira apabila anak panah mereka mengenai sasaran.


“Setakat ini sistem yang diguna pakai adalah aktiviti bermula jam 5.30 petang, kelengkapan akan disediakan di lapang sasar memanah tepi masjid, sesiapa yang berminat boleh datang.

“Kita sasarkan untuk mempopularkan semula sukan sunnah ini di kalangan masyarakat tempatan, insya-ALLAH dalam jangka masa terdekat kita juga akan anjurkan pertandingan memanah,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada pengerusi masjid yang memberi kelulusan segera supaya aktiviti ini dapat dimulakan.
Ruang dekati masjid

Sementara itu, seorang peserta, Muhammad Bizamuddin Abdol Yazid, 21, berkata, kemudahan sukan memanah yang disediakan pihak masjid sangat baik bagi sesiapa yang mahir atau baru hendak belajar menggunakannya.

Muhammad Bizamuddin yang menuntut di Institut Pertanian Serdang, Selangor mengakui pernah bermain sukan memanah di tempat belajar dan merasakan ia sukan yang sangat baik.


Jemaah masjid teruja menggunakan set memanah dan berpendapat ia mudah dikendalikan walaupun kali pertama menggunakannya.


“Aktiviti begini sangat baik kerana ia dapat mengajar belia atau para jemaah cara memanah yang betul di samping ada ruang untuk mendekati masjid.

“Pada saya ia mesti diteruskan dan sesiapa yang berminat perlu memanfaatkan kemudahan ini kerana banyak kelebihan seperti melatih membina fokus serta kekuatan fizikal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau turut menyarankan agar lebih ramai golongan perempuan atau wanita untuk menyertai aktiviti memanah kerana jumlahnya masih tidak ramai.

“Sukan ini tidak terhad kepada lelaki saja, perempuan atau wanita perlu mengikis rasa segan dengan menyertai sukan ini, lama kelamaan tentu akan biasa dan tidak mustahil mampu memanah dengan lebih baik berbanding lelaki,” katanya.


0 comments:

share2