Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 5, 2017

PEGAWAI LANTIKAN KONTRAK BAHARU WAJIB LULUS BM SPM


Dr S Subramaniam


Putrajaya - Kabinet hari ini memutuskan Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak baharu wajib lulus Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan bagi mewujudkan keseragaman dalam lantikan dan Kementerian Pendidikan akan membantu dalam mewujudkan peperiksaan BM peringkat SPM yang boleh diambil secara tunggal tanpa membabitkan subjek lain.

Dr Subramaniam menjelaskan sejak 2003, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran dan tidak mewajibkan syarat lulus BM bagi pelantikan pegawai perubatan latihan siswazah dengan kementerian kerana wujud keperluan kementerian untuk mengambil pegawai perubatan secara kontrak. 

Katanya, dalam tempoh dua tahun mereka menjadi pegawai latihan, mereka perlu lulus mata pelajaran tersebut sebelum dilantik sebagai pegawai perubatan.

"Sejak beberapa hari, isu kelonggaran syarat lulus BM menimbulkan pelbagai kekeliruan. Saya ingin memperbetulkan dan menjelaskan isu itu. Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Saya ingin menjelaskan pada 2015, Kementerian Kesihatan secara sendiri telah memutuskan bahawa lulus BM perlu menjadi syarat untuk pelantikan pegawai perubatan.

“Jadi, kami membuat permohonan itu pada Nov 2015, dan JPA balas pada awal 2016 serta meluluskan permohonan Kementerian Kesihatan bahawa semua pegawai perubatan yang akan dilantik perlu lulus Bahasa Melayu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa JPA telah memberi persetujuan untuk melonggarkan syarat pelantikan secara kontrak bagi jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan pada 23 Februari lepas.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Dr Subramaniam untuk memberi penjelasan berhubung kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, lantikan kontrak untuk Pegawai Perubatan diperkenalkan sejak Disember 2016 berikutan kebanjiran graduan perubatan.

Beliau berkata, sejak Dis 2016 sehingga sekarang, seramai 4,500 pegawai perubatan telah dilantik dan daripada jumlah itu, hanya 23 pegawai perubatan latihan siswazah bersama kementerian tidak mempunyai kelulusan dalam Bahasa Melayu atas pelbagai faktor.

"Semasa lantikan ini, kita menghadapi situasi di mana sekumpulan kecil yang tidak dapat mengikuti sistem pendidikan seperti di negara ini kerana mengikut ibu bapa bekerja di luar negara. Sistem pendidikan mereka berbeza dengan negara ini dan tidak mengambil subjek BM.

"Hari ini, Kabinet memutuskan bahawa 23 individu ini diberi peluang untuk lulus BM semasa mengikuti latihan siswazah mereka selama dua tahun," katanya.


0 comments:

share2