Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 9, 2012

Mohon JPJ di Jerantut Dan Lipis


Penduduk daerah Jerantut dan Lipis meminta Kementerian Pengangkutan membuka pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bandar ini bagi memudahkan mereka berurusan dengan jabatan tersebut.

Ini berikutan operasi pejabat cawangan JPJ Pahang di Jalan Jerantut - Temerloh berdekatan Kampung Temin hanya berfungsi sebagai stesen penimbang dan depot penyitaan kenderaan.

Sedangkan pejabat JPJ terdekat terletak puluhan kilometer di Bandar Tun Razak Jengka, Mentakab dan Raub yang menyulitkan mereka sekiranya mempunyai urusan yang tidak disediakan di Pejabat Pos seperti menukar hak milik kenderaan.

Ketua UMNO Cawangan Kedondong, Ismaitim Ahmad, 55, berkata, berikutan itu penduduk di daerah ini sering merungut kerana jarak jauh dengan pejabat JPJ dan ada yang mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk mengupah agensi tertentu.

"Pejabat yang ada ini tidak mempunyai skop perkhidmatan yang luas dalam urusan cukai jalan, lesen memandu, pertukaran hak milik dan lain-lain.

"Lagipun sebagai sebuah daerah yang pesat membangun dengan pertambahan bilangan penduduk dan kenderaan sewajarnya di bandar ini dibuka sebuah pejabat JPJ," katanya.

Penduduk Hulu Tembeling, Mi Hamidi Nipah, 39, berkata, kemudahan itu perlu mengambil kira keperluan 100,000 penduduk di daerah Jerantut, termasuk pedalaman Hulu Tembeling yang perlu berurusan dengan JPJ.

"Kita memerlukan perkhidmatan kaunter yang pantas dan cekap berbanding dengan Pejabat Pos yang kerap tergendala dan jika wujud masalah berkaitan kenderaan dan perlesenan tidak ada tempat untuk dirujuk," ujarnya.

0 comments:

share2