Peniaga, pengunjung minta MPK ambil tindakan segera
KUANTAN - Busuk, kotor dan menyakitkan mata. Itu pemandangan yang boleh dilihat di belakang medan selera Gerai Esplanade di sini sejak beberapa bulan lalu.


Situasi itu berlaku apabila timbunan batu-bata di lokasi itu berselerak dan tidak dibaiki menyebabkan peniaga dan pengunjung di kawasan tumpuan terkenal di bandar ini merungut.



Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali Zainuddin, 60-an, berkata, dia dan rakan-rakan peniaga menempatkan 16 buah gerai sudah tidak tahan menanggung situasi itu yang boleh menjejaskan kehadiran pelanggan ke gerai mereka.



Menurutnya, dia sudah membuat laporan dan pernah memberitahu masalah di belakang gerai itu ke Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), namun kesal kerana masih belum ada tindakan segera untuk memperbaikinya.



“Saya dan peniaga lain sudah buntu dan mengharapkan pihak terbabit dapat memperbaikinya segera sebelum masalah lebih besar berlaku.



“Timbunan batu-bata ini pecah mungkin dilanggar kenderaan lalu lalang di belakang gerai dan ini menyebabkan keadaan menjadi lebih kotor dan aliran tersekat,” katanya kepada Sinar Harian.



Sementara itu bagi seorang pengunjung, Mohd Mukhlis Rozy, 25, berkata, walaupun dia jarang ke medan selera yang wujud lebih 30 tahun lalu terkejut apabila keadaan kotor itu.



Menurutnya, situasi itu boleh menyebabkan orang ramai tidak yakin dengan kebersihan di lokasi tersebut dan jika dilihat pengunjung luar, ia boleh mengundang imej negatif terhadap mereka.