Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 10, 2012

Menaik Taraf Jalan Di Pahang


Jalan raya yang menghubungkan antara persimpangan Felda Padang Piol ke Taman Negara di sini, akan dinaik taraf melibatkan peruntukan RM600 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan berbelanja besar untuk projek tersebut dengan matlamat merancakkan lagi sektor pelancongan dan pertanian di daerah ini.

Katanya, projek jalan sepanjang 80 kilometer itu merupakan antara kemudahan asas penting bagi menjana kepesatan sektor pelancongan Taman Negara tersebut yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Menurutnya, satu cadangan projek berkenaan dibuat memandangkan jalan raya sedia ada didapati tidak sesuai, rosak dan jajaran jalan berkenaan membahayakan keselamatan penduduk termasuk kenderaan pelancong.

“Projek ini melibatkan peruntukan yang besar kerana perlu jajaran baharu dan pengambilan tanah milik penduduk kampung tradisional dan Felda.

“Jalan itu merupakan perhubungan utama buat 15,000 penduduk Kuala Tahan, Hulu Tembeling, Tembeling Tengah, Felda Sungai Retang dan Felda Padang Piol ke bandar Jerantut di samping kemudahan agensi kerajaan berulang alik ke kawasan Tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kerusi roda dan hamper makanan kepada 10 orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di Felda Sungai Tekam Utara dekat sini, semalam.

Hadir sama, Naib Ketua UMNO Jerantut, Datuk Nazri Ngah dan Ketua Wanita UMNO, Norhelan Mahmud.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan pelan projek menaiktaraf melibatkan jajaran baharu, kesesuaian tanah dan alam sekitar termasuk cadangan kos berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita berharap projek ini disegerakan menerusi kajian separuh penggal pembangunan tahun ini kerana struktur jalan yang ada mengalami kerosakan teruk dan memerlukan peruntukan yang besar setiap kali dibaiki,” katanya.

Projek menaiktaraf jalan raya itu, katanya, boleh merancakkan sektor pelancongan Taman Negara yang memberi pulangan kepada pendapatan kerajaan negeri dan agensi pelancongan tempatan.

0 comments:

share2