Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 6, 2017

[JERANTUT] BUAYA MUNCUL DI KAMPUNG KELOLA


Buaya muncul di Kampung Kelola


Penduduk Kampung Kelola, Pulau Tawar, di sini digemparkan dengan kemunculan beberapa ekor buaya di persisir sungai sebuah pulau kecil, Sungai Pahang.

Penemuan itu dirakam seorang penduduk dan video berdurasi 1 minit 7 saat berkenaan menjadi tular di laman sosial, Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Video itu dirakam guru Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Jengka 24, Hamidi Yaakob, 36, pada Rabu minggu lalu, ketika umat Islam masih menyambut Aidilfitri.

Hamidi berkata, ketika kejadian, dia menerima kunjungan saudara-mara dan rakan-rakan di rumahnya yang terletak berhadapan Sungai Pahang dan pulau dikatakan di mana buaya itu ditemui.

“Ketika itu saya beritahu tetamu yang datang, kalau nak tengok sungai pergilah. Masa pandang ke arah sungai saya nampak ada seekor buaya naik atas darat di pulau seberang hadapan rumah saya ini.

“Lepas tu saya cepat-cepat rakam dan kemudian berkongsi dengan saudara mara. Tak fikir pun nak viralkan...cuma sekadar nak maklumkan kepada orang lain supaya berhati-hati jika turun ke sungai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, reptilia berkenaan dianggarkan berukuran hampir dua meter dan buaya bersaiz paling kecil pernah ditemui.

Katanya, dia sudah beberapa kali melihat reptilia itu sejak bulan April lalu dan terserempak hampir setiap minggu.
“Saya dah banyak kali nampak buaya tu cuma saya tak pernah terfikir nak merakam tambahan pula bila saya ke sungai, saya tak bawa telefon.


Video kemunculan buaya jadi tular.


“Sebelum ni juga saya pernah jumpa dua ekor buaya yang bersaiz berbeza dan ia mungkin spesies buaya tembaga atau orang kampung panggil buaya nyulong berdasarkan muncungnya yang panjang.

“Saya fikir mungkin buaya-buaya ni muncul lepas banjir Januari lalu,” katanya.

Tidak hanya itu, Hamidi yang merupakan satu-satunya penduduk yang mengusahakan sangkar ikan patin di kampung itu turut mendakwa kemungkinan buaya itu juga turut memusnahkan dua sangkar ikan patin miliknya.

“Terdapat kesan lubang pada atas sangkar saya selain ada kesan lubang di bahagian bawah. Kesemua ikan saya yang sepatutnya akan dijual tidak lama lagi terlepas akibat dari lubang yang dibuat buaya itu.

“Saya rasa ia mungkin dirosakkan ketika akhir Ramadan lalu. Saya sendiri pun sekarang dah jarang dah turun ke sungai sebab takut terserempak dengan haiwan itu. Sebelum ni pun saya pernah nampak buaya kat tebing sungai berhampiran sangkar saya ni,” katanya.

Sejak April lalu juga, beberapa kesan tapak dan badan buaya dilihat terdapat pada pasir di pulau berhadapan rumah Hamidi, menunjukkan kekerapan haiwan itu datang ke kawasan berkenaan terutamanya ketika air surut dan cuaca panas sekitar jam 1 hingga 3 petang.
Tak ganggu penduduk

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kelola, Mahidin Awang, 67, berkata, selama hidup dan membesar di kampung itu, beliau sendiri belum melihat buaya muncul di sungai kampung itu.

“Saya ada dengar cerita, tapi tak pernah pula saya lihat sendiri buaya ni. Kali terakhir saya dengar ia muncul sebelum banjir 2014. Tak pasti bila...tapi sekitar empat atau lima tahun lalu.

“Ia ditemui seorang penduduk kampung ini yang memberitahu ternampak buaya di kawasan sungai kampung.

“Tapi tak sangka pada tahun ni, saya dengar berita yang sama lagi,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menetap di Kampung Kelola, beliau yang merupakan penduduk asal kampung itu belum pernah mendengar berita tentang nelayan sungai di kawasan itu diserang buaya.

“Buaya itu masih tak mengganggu penduduk sekitar. Namun kami sebagai penduduk tetap berasa takut dan ambil langkah berjaga-jaga ketika turun ke sungai,” katanya.

Penduduk, Yaakob Mohammad, 76, pula berkata, dia juga tidak pernah terserempak dengan reptilia itu selama tinggal dan membesar di kampung berkenaan.

“Masa muda dulu rajin juga turun pergi menjala dan memancing ikan. Tapi tak pernah langsung terserempak dengan buaya.

“Jika ada pun di Kampung Pasir Durian atau kampung bawah dari itu lagi.

“Sekarang bila dah tahu, rasa takut juga nak turun ke sungai. Saya juga cepat-cepat beritahu anak cucu keraa risau kalau apa-apa jadi, tetapi minta-minta dijauhkanlah,” katanya.
Perhilitan pantau kawasan terlibat

Dalam pada itu, PengarahPerhilitan Negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, pihaknya menghantar kakitangannya untuk mengambil tindakan berdasarkan berita tular itu.

“Kami telah menghantar kakitangan kami ke lokasi bagi bertemu orang yang melihat kemunculan buaya itu.


Wakil dari Jabatan Perhilitan negeri hadir bagi memantau keadaan berdasarkan yang berita yang tular sejak beberapa hari lalu.


“Buat sementara ini kami akan memantau keadaan dan cuba mengenal pasti terlebih dahulu, sama ada buaya itu datang sekadar untuk singgah atau ia mahu menjadikan kawasan itu sebagai habitatnya kerana sebelum ini kami belum pernah menerima laporan daripada orang kampung tentang kemunculan reptilia itu.

“Sekiranya ia mahu menjadikan kawasan itu sebagai habitat, kami akan maklumkan kepada orang ramai khususnya

penduduk kampung supaya berhati-hati dari menghampiri kawasan terbabit dengan meletakkan papan tanda atau memaklumkan secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita.


0 comments:

share2