Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 28, 2017

PERKHIDMATAN TABUNG HAJI DIIKTIRAF TERBAIK DI DUNIA





Kuala Lumpur - Perkhidmatan Lembaga Ta­bung Haji (Tabung Haji) dalam pengurusan jemaah bagi ibadah haji dan umrah bukan sahaja diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia malah turut menjadi rujukan kepada negara-negara lain.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya telah meneri­ma kunjungan 10 negara untuk mempelajari kaedah yang diguna pakai dalam menguruskan jemaah haji dan umrah.

“Contohnya, Filipina telah meng­hantar penasihat agama mereka untuk mempelajari kaedah yang diguna pakai dalam menguruskan jemaah haji dan umrah. Selain itu, India dan Bangladesh juga mahu bekerjasama dengan Tabung Haji untuk tujuan sama.

“Insya-Allah, kita akan ber­kongsi dan membantu negara-negara lain demi kebaikan ummah dan sejagat,” katanya dalam program temu bual Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan melalui saluran TV1 RTM hari ini.

Abdul Azeez berkata, segala kemudahan yang dinikmati oleh jemaah haji sehingga mendapat pengiktirafan terbaik daripada kerajaan Arab Saudi bukannya datang secara bergolek sebalik­nya ia adalah hasil inisiatif bersama Tabung Haji dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Usaha untuk mendahulukan umat Islam terus diutamakan le­bih-lebih lagi Perdana Menteri telah mengusahakan untuk mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada Februari lalu untuk memperoleh penambahan kuota jemaah haji.

“Pertemuan ini membuahkan hasil apabila kita telah dapat penambahan sebanyak 7,900 orang yang menjadikan jemaah pada tahun ini sebanyak 30,200 berbanding sebelumnya 22,300 jemaah,” jelasnya.

Beliau menambah, usaha mendapatkan penambahan kuota sebanyak 26 peratus itu bukan sesuatu yang mudah dan merupakan perkara luar biasa yang diusahakan oleh Perdana Menteri dalam perbincangan empat mata tersebut.

Sementara itu, Abdul Azeez memberitahu, penambahan kuota jemaah haji ini juga akan memberi kesan positif kepada tempoh menunggu menunaikan haji daripada 89 tahun kepada 50 tahun yang memberi manfaat kepada 2.5 juta orang yang telah mendaftar haji sebelum ini.

“Kita bercadang untuk membuat rayuan supaya diberikan penambahan kuota supaya dapat mencapai sasaran tempoh menunggu sehingga 50 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat juga harus bersyukur kerana kerajaan telah membelanjakan subsidi sebanyak RM240 juta untuk diberikan kepada 30,200 jemaah haji yang menunaikan ibadah itu tahun ini.

“Kerajaan sejak 10 tahun la­lu telah membiayai sekurang-kurangnya 50 peratus kos sebenar menunaikan haji. Kini, kos sebenar ialah RM19,550 namun rakyat Malaysia hanya mengeluar­kan RM9,980,” jelasnya.


0 comments:

share2