Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 27, 2017

[KUANTAN] TAWAR KHIDMAT TAMBANG PERCUMA


Tawar khidmat tambang percuma


“Saya tak rasa rugi, sebaliknya untung. Rezeki saya datang daripada pelbagai bentuk sejak bagi perkhidmatan tambang percuma tiga tahun lalu," demikian reaksi pemandu kereta sewa, Cahyono Tandi, 47, yang menawarkan perkhidmatan percuma untuk pelajar sekolah, warga emas, OKU tanpa mengira kaum di bandar ini.

Malah bekas pembantu dan pemandu peribadi ini juga menawarkan tambang percuma buat wanita-wanita bersalin yang memerlukan perkhidmatan ke hospital.

Pemegang pemastautin tetap kelahiran Indonesia itu mengakui, rezekinya tetap bertambah dan datang dalam pelbagai bentuk biarpun menawarkan perkhidmatan percuma kepada golongan terbabit.

“Saya tak rasa susah, makan minum cukup dan boleh tanggung isteri dan seorang anak setakat ini. Kadang-kadang memang ada penumpang yang takut nak naik mungkin fikir saya menipu ataupun rasa tambang mahal sebab kereta nampak macam mewah.

“Saya percaya biarpun bukan orang kaya, tapi saya boleh buat amal ibadah dan rezeki datang daripada ALLAH,” katanya yang telah memandu kereta sewa itu lebih 20 tahun lalu di sekitar bandar ini.

Dia yang menetap di Kampung Kurnia, dekat sini berkata, dia memulakan operasinya selepas Subuh sehingga ke malam setiap hari dan mengakui setiap hari dia berdepan situasi dan pelanggan yang kurang berkemampuan.

“Sebenarnya saya terbuka hati untuk membantu orang lain selepas berlaku satu kejadian di mana ada seorang pelajar sekolah tak cukup duit nak bayar tambang.

“Walaupun hanya tak cukup beberapa sen, saya tengok pelajar tu menangis dan dari situlah hati saya tersentuh. Lepas tu datang idea untuk tawarkan tambang percuma ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berkongsi pengalaman membantu seorang wanita dalam kecemasan dan tidak mengenakan sebarang tambang hingga ke Gombak serta seorang pemuda yang terdesak ke Kuala Terengganu tahun lalu.

“Saya tahu dan dapat rasa jika ada orang yang benar-benar terdesak. Saya faham ada juga yang cuba ambil kesempatan, tapi saya anggap itu satu dugaan.

“Dan memang ada pihak yang marah sebab saya macam menjejaskan periuk nasi orang lain. Tapi saya tak takut pada manusia kerana saya lebih takut kepada ALLAH SWT,” jelasnya lagi.

Cahyono juga berharap masyarakat turut saling membantu dengan pelbagai cara yang sesuai mengikut kemampuan masing-masing.

Bagi dirinya, dia akan terus mencurah bakti dan tidak mahu niat baiknya disalahertikan.


0 comments:

share2