Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 27, 2017

RABIES: APA PERLU DILAKUKAN?


Rabies


Negara sebelum ini digemparkan dengan berita tiga kanak-kanak di daerah Serian, Sarawak dijangkiti rabies atau penyakit anjing gila sehingga menyebabkan kematian, hujung Jun lalu.

Penyakit disebabkan Lyssavirus itu boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan anjing diijangkiti serta melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, inidividu dijangkiti rabies akan mengalami tanda-tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh serta koma.

Rabies juga boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.

Tidak hanya di Sarawak, terdapat mangsa dari negeri lain iaitu Perak dan Melaka.

Bagi menanganinya, kerajaan negeri mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau anjing-anjing liar yang menunjukkan simptom rabies.

Selain itu, vaksin turut diberikan kepada anjing peliharaan dan pada masa sama, masyarakat diberikan pendedahan mengenai penyakit tersebut, manakala anjing-anjing liar pula ada yang dilupuskan.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, stok vaksin anti-rabies mencukupi dan semua negeri menyimpan syok minimum vaksin rabies pada setiap masa sebagai langkah siap siaga sekiranya diperlukan.

Penularan penyakit itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat di negara ini.

Respons dan pandangan dizahirkan menerusi pelbagai medium, khususnya media sosial.

Rata-rata netizen mahu kesemua anjing-anjing liar di negara ini segera dilupuskan.

Pengguna Facebook, Kamarul Zaman Ramli mengaitkan insiden ini dengan kes penyakit kuku dan mulut yang pernah melanda negara satu ketika dahulu.

"Ingat lagi masa penyakit kuku dan mulut yang terjadi di negeri pantai timur dahulu, habis semua ternakan ditembak mati," tulisnya.

Pendapat itu disokong Nizam Tengku yang bimbang akan bahayanya rabies.

"Jika ayam itik, laju je lupuskan, tapi bila anjing liar ni lambat pula tindakannya sedang dah terang-terang bahaya bila digigit," tulisnya.

Bagaimanapun, ada beberapa netizen yang mengecam tindakan pihak berkuasa melupuskan anjing-anjing liar tersebut.

Seorang lagi pengguna Facebook, Jubaidah Mukkaddam mendakwa, perbuatan itu tidak berperikemanusiaan.

"Berdosa bunuh anjing gara-gara penyakit ini, manalah sifat perikemanusiaan, sanggup bunuh tanpa usul periksa," tulisnya.

Reaksinya itu disokong Nunum Sinclair yang berpandangan sama.

"Dosa bunuh dan fitnah binatang yang tidak berdosa, nanti di akhirat akan ditanya sebab membunuh haiwan tersebut," tulisnya.

Namun begitu, ada juga netizen mempertahankan tindakan pihak berkuasa itu antaranya, Sri Indah.

"Sebenarnya kena vaksin je anjing tu, majlis yang tangkap kucing dengan anjing pun akan hapuskan bila haiwan tersebut tidak dituntut.

"Jadi perkara ini bukanlah satu benda baru pun," katanya.

Azroy Piang pula berasakan tindakan tersebut wajar mengikut kesesuaian keadaan.

"Terpaksa buat demikian supaya wabak tidak merebak dan tidak terkena pada keluarga di kawasan tersebut.

"Mungkin nampak kejam tapi apabila terkena batang hidung sendiri, baru sedar apa yang sebenarnya perlu dilakukan," tulisnya.

Kementerian Kesihatan kini melaporkan dalam usaha mencegah penularan wabak tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan dakwaan bahawa suntikan vaksin tidak diberikan setelah digigit anjing.

Dalam perkembangan terbaru, Pasar Basah Sungai Maong di Kuching dan Kampung Serikin di Bau, Sarawak diisytiharkan sebagai lokasi baharu wabak rabies.


0 comments:

share2