Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 27, 2017

BAHASA MELAYU DIMARTABATKAN KE PERINGKAT LEBIH TINGGI


Najib Tun Razak


Putrajaya - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan tidak akan meminggirkan Bahasa Melayu, malah kedudukannya akan terus dimartabatkan dan diangkat tinggi, hingga ke persada antarabangsa.

Beliau berharap Bahasa Melayu menjadi bahasa utama di rantau ASEAN serta menjadi satu daripada bahasa pengantara utama di peringkat global menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kedudukan Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan apabila Malaysia dibaris sebagai satu daripada 20 buah negara paling berjaya di dunia nanti," katanya pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib turut melahirkan harapan supaya penguasaan Bahasa Melayu akan terus melambangkan jati diri bangsa dan konteks seharian menerusi petuturan dan penulisan yang betul dari segi penggunaan dan tatacara, terutamanya di media sosial.

"Apabila kita menggunakan media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan SMS sering terjadi penggunaan tatabahasa yang tunggang-langgang atau ejaan tidak betul.

"Saya berharap kita tidak cenderung mengikut trend ini yang sebenarnya akan menghakiskan kedudukan Bahasa Melayu," katanya.

Najib turut mengingatkan semua pihak mengenai cabaran di era teknologi komunikasi dan maklumat termasuk ambang gelombang Revolusi Industri Keempat dan Ekonomi Digital yang menjadikan dunia kini semakin menarik dan mencabar.

Katanya semua pihak wajar mengambil inisiatif di ruang siber yang terbuka itu untuk mengembang dan mempromosikan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang dinamik serta terus relevan, bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi digital.

Najib berkata penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di negara ini dilakukan secara terancang dan tersusun lagi inklusif, selain menyantuni serta meraikan bahasa-bahasa utama lain, termasuklah Bahasa Inggeris, tanpa perlu ‘menghapus’ serta ‘meminggirkannya’.

"Bahasa Melayu telah merupakan wahana dalam membentuk perpaduan rakyat di negara ini. Sebagai sebuah watan yang terdiri daripada masyarakat majmuk, selama ini, Bahasa Melayu telah dijadikan tali pengikat dalam membina suasana masyarakat yang tenteram, damai lagi sejahtera," katanya.

Najib turut menyeru agar semua peserta PABM tidak berhenti atau jemu dalam mempelajari Bahasa Melayu.

"Kami menganggap saudara dan saudari merupakan duta kecil kami dalam memperkasa Bahasa Melayu bukan setakat di negara masing-masing bahkan harum megah ke seantero dunia," katanya.

Sejumlah 53 peserta daripada 35 buah negara menyertai PABM yang memasuki edisi ke-11 dengan tema ‘Pengantarabangsaan Bahasa Melayu’ berpadanan dengan konsep memartabatkan Bahasa Melayu pada mata dunia.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Antarabangsa, Alam Melayu (dahulunya dikenali sebagai kategori Nusantara) dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).

PABM, cetusan idea Najib, merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM).


0 comments:

share2