Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 24, 2017

[KUANTAN] TABUNG KHAS BANTU PELAJAR


Tabung khas bantu pelajar


Rumah Anak yatim dan Miskin Permata Camar mewujudkan tabung khas bagi membantu penghuni yang berpotensi melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi (IPT).

Buat permulaan, tiga penghuni yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPT di Terengganu mendapat manfaat tabung tersebut.

Pengerusinya, Datuk Halidan Md Daud berkata, sebelum ini, pihaknya hanya membantu melalui bantuan kecil kepada bekas penghuni melanjutkan pelajaran memandangkan tanggungjawab tersebut diserahkan kembali kepada pihak keluarga selepas tamat tingkatan lima.

Menurutnya, tahun ini pihaknya melihat balik polisi tersebut dan memutuskan untuk bantu penghuni terutama anak yatim piatu.

“Jadi kita ambil keputusan terus bantu mereka ini melalui Tabung Pelajar IPT Camar yang mana dananya juga adalah hasil sumbangan orang ramai.

“Tabung ini bertujuan menampung kos pengajian di IPT dan bagi mereka yang mendapat tajaan yuran, kita bantu mereka dari segi perbelanjaan lain sehingga tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Nadwah Islamiah Pahang (Nadwah), Permata Camar, Yayasan Pusat Hemodialisis Islam Makmur dan Mobil Musolla di sini, semalam.

Sementara itu katanya, kemudahan untuk penghuni rumah berkenaan akan dipertingkatkan termasuk cadangan membina sebuah dewan serba guna dan bangunan kelas tidak lama lagi.

“Pembinaan dewan serba guna dianggarkan menelan kos RM700,000 itu dijangka dapat dilaksanakan tahun ini selepas dapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan memandangkan sebahagian dana projek ini sudah ada.

“Bila siap kelak, selain digunakan untuk aktiviti penghuni di sini, kita juga akan buat sewaan,” katanya.

Halidan berkata, pihaknya juga merancang membina sebuah bangunan untuk menempatkan kelas dan pejabat dengan anggaran kosnya mencecah RM400,000.

“Melalui usaha ini, kita juga rancang untuk tambah bilangan penghuni.

“Setakat ini keperluan penghuni di sini mencukupi dan Alhamdulillah, banyak pihak tampil beri sumbangan termasuk dalam kalangan bukan Islam,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Muamalat (06010002374716), Maybank Islamic (556093241185), AmIslamic (8881001767206) dan Bank Islam (06019010069849) atas nama Permata Camar.


0 comments:

share2