Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 24, 2017

[JENGKA] USUL PROJEK RM250 JUTA


Usul projek RM250 juta


Dua lagi pakej projek menaik taraf dan pelebaran jalan diusulkan kepada kerajaan persekutuan membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM250 juta untuk kemudahan dan keselesaan penduduk di Dun Jengka dan Parlimen Kuala Krau.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato' Sri Ismail Mohamed Said berkata, ia berikutan peruntukan jumlah sama diperoleh baru-baru ini tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan jalan yang dipohon.

“Peruntukan baru yang dipohon itu bagi pakej pertama melibatkan kos tambahan RM100 juta merangkumi jalan dari Tol Chenor ke Kampung Awah dan sambungan dari Simpang TNB ke Simpang Jengka 8.

“Pakej kedua pula bernilai RM150 juta untuk naik taraf dan pelebaran jalan dari Simpang Felda Jengka 18 hala ke Jengka 21, 22 dan 23 keluar ke Jambatan Kuala Krau dan Rumpun Makmur serta Simpang Jengka 21 hala ke Jengka 13, Simpang Jengka 14 menghala ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka," katanya.

Ismail (duduk tengah) bersama barisan wakil pelbagai jabatan kerajaan di Bandar Pusat Jengka.


Menurutnya, kedua-dua permohonan berkenaan sedang diusahakan serentak kerana jalan tersebut kini semakin sibuk dan menjadi jalan utama perhubungan penduduk.

“Spesifikasi permohonan jalan ini dari standard R-2 jalan dua lorong kepada R-5 dengan kelebaran lorong lebih besar iaitu dari pelebaran 2.75 meter dengan had laju 60 kilometer (km) sejam kepada 3.5 meter bagi kelajuan 100 km sejam.

“Kita mengharapkan berita baik buat penduduk kerana ia sememangnya projek yang dinanti-nantikan. Jalan baru ini akan memberikan keselesaan kepada pengguna terutama pada musim perayaan apabila anak rantau pulang selain pada musim perlawanan bola sepak di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR),” katanya.

Ismail berkata, kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM250 juta dan RM213 juta daripadanya bagi projek menaik taraf dan melebarkan Jalan Persekutuan FT 83 dengan jarak 28 km serta bakinya meliputi pampasan kepada tuan tanah dan kerja-kerja alih utiliti seperti kabel elektrik, talian telefon dan paip air.

“Kelulusan diberikan tapi dengan bajet RM213 juta sahaja, maka kita buat usul peruntukan baru babitkan dua pakej, Pecahkan Pakej pertama tersebut kepada permohonan baru berserta pakej kedua.

“Projek yang lulus sudah pun memulakan fasa awal tersebut meliputi Jalan Persekutuan dari Tol Chenor ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka iaitu simpang berdekatan Tenaga Nasional Berhad,” katanya.


0 comments:

share2