Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 21, 2017

[JERANTUT] PROJEK BERI LIMPAHAN REZEKI


Projek beri limpahan rezeki


Projek ladang kelapa sawit yang akan diusahakan Tabung Haji (TH) dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion di Kuala Tembeling di sini, akan beri kesan positif kepada penduduk setempat.

Adun Tahan, Dato' Sri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, projek berkeluasan kira-kira 12,140 hektar tanah itu akan memberikan limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 penduduk setempat.

“Pada masa ini, kawasan tersebut masih di peringkat penanaman fasa pertama di tanah seluas 1,214 hektar setelah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar dan pihak Tabung Haji juga telah membuka nurseri di situ.

“Saya juga sedang berunding dengan kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) untuk membangunkan projek perumahan sebanyak 470 unit rumah di Kuala Tembeling, ”katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra Aidilfitri di Kampung Paya Teh di sini, kelmarin.

Wan Amizan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji berkata, pembangunan ladang di kawasan berkenaan akan memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk setempat.

Katanya, pihak Tabung Haji akan memastikan penduduk setempat turut mendapat manfaat dan pelbagai peluang termasuklah pekerjaan dan perniagaan.

Dalam pada itu beliau berkata, pembukaan jalan baharu ke Taman Negara Kuala Tahan tidak akan menyebabkan Kuala Tembeling yang dahulunya menjadi pintu masuk ke Taman Negara akan menjadi bandar ‘mati’.

Katanya, pelbagai projek pembangunan akan dilaksanakan di kawasan itu termasuklah pembangunan infrastruktur dan produk-produk pelancongan baharu dari semasa ke semasa.

Tambahnya, keunikan Kuala Tembeling yang menjadi pertemuan antara Sungai Jelai dan Sungai Tembeling yang menghasilkan Sungai Pahang merupakan antara tarikan baharu yang boleh diketengahkan.

“Selain itu, kita bercadang mewujudkan konsep pelancongan ‘cruise’ dengan membawa pelancong menyusuri Sungai Pahang dan melawat kampung-kampung pinggir sungai yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.


0 comments:

share2