Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 14, 2017

'SAYA TAK AKAN LINDUNGI SESIAPA TERMASUK AHLI KELUARGA'


Khalid Abu Bakar


Kuala Lumpur - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk ahli keluarganya sekiranya terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Saya akan beri kerjasama penuh dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sama sekali tidak akan bersekongkol dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Ramai yang kenal saya dan ahli keluarga saya. Kalau mereka melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang, mereka kena jawab," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Menara TM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan portal Sarawak Report tentang K Gopinathan iaitu suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram di sekitar Melaka mempunyai kaitan dengan Khalid serta ahli keluarganya.

Portal itu turut memaparkan rekod panggilan telefon yang dibuat oleh Gopinathan kepada Khalid serta anaknya Khairul Amri.

Mengulas sama ada beliau mengenali Gopinathan yang kini sedang disiasat oleh SPRM, Khalid mengakui perkara itu.

"Saya serta ahli keluarga mengenali Gopinathan namun tidak mengetahui pembabitannya dalam kes itu.

"Apa yang saya tahu mungkin Sarawak Report mempunyai niat yang tidak baik terhadap saya, organisasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kerana banyak tohmahan serta tuduhan dibuat oleh mereka sebelum ini," katanya.

Tambahnya, pihak polis akan memberi kerjasama penuh dengan SPRM berhubung kegiatan judi haram dan rumah urut di Melaka.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan terhadap editor dan pengasas portal Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown agar tampil mengemukakan bukti dakwaan yang dibuat dalam pelbagai isu.

"Kalau apa yang dicakapkan betul, datang dan buktikan apa juga tohmahan dan tuduhan. Tampillah ke depan dan beri dokumen-dokumem sebagai bukti. Ini macam 'pukul curi'. Kalau betul, boleh tampil," katanya.

Dalam kes yang lain, mengenai penemuan wang sebanyak US$120,000 dalam pemilikan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam ketika pembunuhannya, Khalid mengesahkan penemuan itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan jumlah wang itu kerana bimbang ia diputar-belit dan ditokok-tambah oleh media asing.


0 comments:

share2