Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 14, 2017

[KUANTAN] PEMANDU LORI TAK MAKAN SAMAN


Pemandu lori tak makan saman


Sikap segelintir pemandu lori yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan perumahan meresahkan penduduk kerana dikhuatiri mengundang bahaya terutamanya kepada kanak-kanak.

Tinjauan Sinar Harian ke dua taman perumahan Indera Sempurna dan Sungai Isap mendapati pelbagai jenis kenderaan berat termasuk treler dan lori tanah diletakkan betul-betul di simpang jalan sehingga mendatangkan masalah kepada pengguna jalan raya.

Menurut seorang penduduk, Sulaiman Ismail, 29, masalah itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di waktu malam kerana kenderaan berat itu menutupi hampir sebahagian jalan.

Katanya, ini kerana pemandu tidak dapat melihat kenderaan yang datang bertentangan kerana penglihatan terlindung oleh kenderaan berat yang diletak di tepi jalan.

“Sebelum ini ada juga penguat kuasa datang untuk pantau masalah ini tetapi perkara ini tetap berulang sehingga hari ini.

“Pemandu berkenaan seperti tidak makan saman dan berterusan meletakkan kenderaan mereka di dalam kawasan perumahan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, masalah itu merisaukan penduduk kerana ia juga membahayakan kanak-kanak yang selalu bermain di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Elisa Eriana Shamsuddin, 30, pula meminta agar pemandu meletakkan kenderaan mereka di kawasan lain yang lebih sesuai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Jelasnya, daripada segi undang-undang, kenderaan berat dilarang diletakkan di kawasan perumahan, tepi jalan mahu pun di taman permainan kerana ia mendatang risiko kepada orang awam.

“Saya rasa sepatutnya lori-lori ini tidak boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan perumahan. Mereka mestilah meletakkan kenderaan berat ini di kawasan depot lori yang disediakan oleh syarikat mereka.

“Justeru saya juga harapkan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah membelenggu penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Izad Zainal Muhammad Safian, berkata, pihaknya boleh mengenakan kompaun kepada pemandu lori yang meletakkan kenderaan di kawasan perumahan.

“Kita minta penduduk yang mempunyai masalah seperti ini boleh buat aduan kepada pihak MPK untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.


0 comments:

share2