Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 14, 2017

[KUANTAN] MAHKAMAH ARAH 15 AKTIVIS BELA DIRI


Mahkamah arah 15 aktivis bela diri


Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini semalam, mengarahkan 15 aktivis yang diketuai Wong Tuck untuk membela diri terhadap pertuduhan menyertai perhimpunan haram bagi menghalang operasi kilang nadir bumi Lynas Corporation Sdn Bhd, di Gebeng, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Unaizah Mohd membuat keputusan tersebut berdasarkan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh.

Dengan itu, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pembelaan pada 21 Julai, 28 dan 29 Ogos depan terhadap semua tertuduh.

Bagi semua tertuduh yang hadir ke mahkamah, telah dimaklumkan terlebih dahulu mereka diberi tiga pilihan untuk membuat rayuan sama ada keterangan bersumpah, tidak bersumpah atau berdiam diri dan mahkamah berhak menggunakan segala keterangan yang diambil ketika sesi pendakwaan.

Terdahulu, Wong Tuck, 58, juga bekas calon DAP di kerusi Parlimen Bentong pada pilihan raya umum lalu telah didakwa bersama-sama Raymond Ng Abdullah, 42; Rafar Ahmad, 47; Tan Wang Sheng, 40; Hew Kuan Yau, 47; Lee Kai Ming, 40; Chong Kong Yurn, 67; Tan Chee Hooi, 41; Zamri Zainal, 29, dan Thomas Wong, 55.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan kerana telah menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan memprotes operasi Lynas antara jam 4 dan 5.30 petang pada 22 Jun 2014 di Jalan Bandaran, menghala ke kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu, mereka didakwa enggan bersurai selepas diarahkan berbuat demikian oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh.

Sementara itu, bagi lima lagi tertuduh iaitu Fong Poh Choo, 39; Wong Chee Wai, 38; Wong Chee Wen, 47; Phua Kai Yaw, 46, dan Ho Kam Huat, 47, dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan setelah mengadakan perhimpunan menyalahi undang-undang memprotes operasi Lynas dengan melakukan kekerasan iaitu merempuh halangan polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Manakala Kam Huat menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis, yang cuba menangkapnya dengan cara menyepak dan mencakar sehingga mendatangkan kecederaan di kaki dan muka mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, kes tersebut telah dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Faridz Gohim Abdullah, Shahrul Ekhsan Hasim dan Farahah Mohd Nazari manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Haijan Omar.


0 comments:

share2