Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 15, 2017

[KUANTAN] SANGGUP ABAI SOAL KUALITI


Sanggup abai soal kualiti


Lambakan produk kosmetik di pasaran tempatan membuatkan permintaannya semakin bertambah hari demi hari.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa lokasi tumpuan melihat lambakan produk kosmetik sememangnya ada pembeli tegar yang setia menggunakannya sedangkan mereka tahu ia merupakan barangan tiruan.

Bagi seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Mariam, 25, berkata, penjualan produk kosmetik ada kalanya mampu memberikan pulangan tinggi terutama ketika menjelang musim perayaan dan pada awal bulan.

“Sebagai peniaga kita semestinya nak jual barangan yang dapat permintaan tinggi...jadi pemilihan jenis produk juga penting.

“Pembeli sekarang dah tak fikirkan soal keaslian dan mutu produk...malah mereka tak kisah pakai barangan tiruan asalkan kualiti hampir sama.

“Malah harganya jauh lebih murah dan mudah juga bagi mereka yang ingin mengumpul dan jadikannya koleksi...barang kosmetik ni sentiasa ada keluaran terbaru,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, bagi Dalila Sari Wahab, 30, pemilihan produk kecantikan sama ada asli atau tiruan bergantung kepada produk.

“Saya pilih original sebab bimbang produk tiruan beri alahan kepada muka tetapi ada juga produk tiruan yang boleh dibeli seperti pewarna kuku atau pembayang mata kerana kualitinya hampir sama.

“Beli original lebih terjamin sebab pembuatannya kebanyakan sesuai dengan kulit muka kita.

“Namun begitu yang tiruan juga saya beli bila harganya jauh lebih murah dan rasa macam nak cuba...manalah tau ia sesuai, dah jimat sikit kos di situ,” katanya.

Manakala, Ummi Jauharah Radzli, 19, berkata, dia mengutamakan produk yang asli dan berkualiti.

“Saya memang pilih yang original...takut kalau pakai yang tiruan, macam-macam pula sakit datang. 

Takut juga bila lihat gambar mangsa yang mengalami kulit melecuh dan berjerawat hasil penggunaan produk yang tak ada kelulusan.

“Jadi kesannya pada kita sangat penting. Saya tak kisah produk yang dijual mahal asalkan tak jejaskan kita dan kualitinya terjamin,” katanya.

Tahap toksin kosmetik tiruan tinggi

KEMUNCULAN produk kosmetik di pasaran yang pelbagai jenama pastinya menarik perhatian pengguna terutama golongan wanita.

Namun begitu, jangan terlalu mudah terpengaruh kerana dikhuatiri ia adalah produk tiruan yang mempunyai kandungan bahan yang beracun.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Mashitah Mohd berkata, kosmetik tiruan amat

berbahaya kerana tahap toksin yang digunakan akan memberikan tindakan balas alahan yang teruk.

Menurutnya, mereka yang menggunakan produk berkenaan akan mengalami ruam pada kulit, luka, kecacatan selain mampu membuatkan seseorang itu mandul.

“Kandungan bahan yang kerap dikesan di dalam produk tersebut adalah merkuri (raksa) yang tinggi, plumbum, cyanide, hydro quinone (boleh menggandakan risiko kanser) dan tretinoin.

“Paling mengejutkan ada juga bahan-bahan beracun di kesan antaranya najis tikus, air kencing tikus dan air kencing manusia. Ia pernah dijumpai di dalam minyak wangi tiruan yang melalui uji kaji,” katanya kepada Sinar Harian. Justeru, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak mengambil mudah terhadap penggunaan kosmetik tiruan yang ada di pasaran.

Tambah beliau, kanak-kanak atau bayi yang tersentuh bahan kosmetik tiruan itu akan terdedah kepada toksin.

“Toksin seperti merkuri boleh membawa kepada kerencatan pertumbuhan otak malah pendedahan berpanjangan kepada merkuri juga boleh membawa kepada kerosakan sistem saraf serta buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata, pengguna harus membeli produk kosmetik di kaunter jenama yang sah bagi mengelak terbeli produk tiruan.

“Mungkin ada pengguna yang tertarik harga yang lebih murah dijual namun kita perlu berhati-hati kerana harga yang murah mungkin di sebabkan bahan yang digunakan sudah luput tarikh dan sebagainya.

“Pengguna juga boleh meneliti label produk asli dengan produk tiruan agar tidak terbeli yang palsu,” katanya.

Prof Dr Mashitah berkata, UMP sendiri mempunyai fasiliti dan kepakaran untuk mengkaji kandungan bahan dalam kosmetik dan pernah menjalankan uji kaji sedemikian untuk mengesan kandungan bahan yang digunakan.

“Bagaimanapun, sesuatu produk kosmetik perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Pengawalan Farmasi Kebangsaan sebelum proses selanjutnya dibuat,” katanya.


0 comments:

share2